Mahkamah benar tangguh masuk bukti baharu Rosmah

Mahkamah benar tangguh masuk bukti baharu Rosmah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah yang membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor memasukkan bukti baharu melalui keterangan tambahan daripada salah seorang saksi pendakwaan berkait kes rasuah projek solar hibrid.

“Atas persetujuan kedua-dua belah pihak, kami benarkan penangguhan penggantungan perintah bertarikh 1 September lalu sehingga rayuan berkait perintah terbabit didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Pendengaran rayuan utama (kes rasuah solar hibrid) yang ditetapkan pada Oktober ini juga dilapangkan. Pihak-pihak diminta untuk mengemaskini status kes ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh,”ujar Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama Datuk Choo Kah Sing dan K. Muniandy.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk memasukkan bukti baharu melalui keterangan tambahan daripada saksi pendakwaan ke-16 (PW16), Rayyan Radzwill Abdullah membabitkan kes projek solar hibrid sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan, pihak-pihak terlibat telah berbincang dan permohonan penggantungan perintah tersebut tidak dibantah oleh pasukan pembelaan.

“Pihak-pihak telah berbincang dan responden (Rosmah) tidak membantah permohonan untuk gantung pelaksanaan perintah terdahulu sehingga rayuan berkait perintah sama didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,”katanya.

Beliau turut memaklumkan pada notis rayuan perintah bertarikh 1 September itu telah difailkan pada 4 September lalu dan pihaknya sedang mendapatkan tarikh untuk pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala Rosmah diwakili peguam-peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Sementara itu, Amer Hamzah mengesahkan bahawa pihak mereka tidak membantah terhadap permohonan tersebut.

“Saya sahkan terdapat perbincangan serius mengenai permohonan ini. Memandangkan bukti baharu itu membabitkan antara saksi penting kes berkenaan dan pihak pendakwaan sendiri telah memberi jaminan akan mempercepatkan prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan, kami tidak mempunyai bantahan.

“Demi kepentingan kedua-dua pihak, adalah wajar agar rayuan di Mahkamah Persekutuan didengar dan diputuskan terlebih dahulu,”kata peguam itu.

Tambahnya, pihaknya akan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memaklumkan bahawa pendengaran bukti baharu itu telah ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×