Lelaki cedera ditembak dua individu bersenjata api di stesen minyak - Utusan Malaysia

Lelaki cedera ditembak dua individu bersenjata api di stesen minyak

LELAKI cedera ditembak dua lelaki bersenjata api dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang lelaki cedera ditembak dua lelaki bersenjata api dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian kira-kira pukul 6.08 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 41 tahun tiba di lokasi kejadian menaiki kenderaan jenis Toyota Land Cruiser untuk mengisi minyak.

Katanya, sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam yang datang dari arah Pekan Bidor kemudian berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua lelaki yang dipercayai bersenjata api kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang telah terkena satu das tembakan di bahu kiri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian terdapat lima individu di dalam kenderaan dinaiki mangsa, namun kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tapah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan satu peluru 9mm Luger, empat kelongsong peluru 9mm Luger dan serpihan anak peluru.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru dan kesan tembakan pada bahagian kenderaan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

Katanya, pasukan penyiasat turut menjalankan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan termasuk laluan sekitar Bidor dan plaza tol yang dikenal pasti.

“Pemeriksaan dan analisis barang kes berkaitan juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×