PETALING JAYA: Kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi penghalang kepada usaha menghentikan konflik dan menangani jenayah kemanusiaan di Palestin perlu dimansuhkan segera.
Menteri Luar, Datuk Seri mu berkata, pengalaman di Gaza jelas memperlihatkan bagaimana kuasa veto boleh mengekang kehendak masyarakat antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata serta mengambil tindakan lebih tegas terhadap konflik yang berlarutan.
Menurut beliau, Malaysia bersama banyak negara anggota lain telah berusaha sedaya upaya menuntut keadilan untuk rakyat Palestin, termasuk secara konsisten menggesa gencatan senjata serta-merta dan penghantaran bantuan tanpa sekatan.
“Kami telah menyokong kerja-kerja kemanusiaan di Palestin. Kami telah mendesak tindakan punitif terhadap Israel dan kami telah memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin di Dewan ini.
“Bagaimanapun, kehendak bersama Perhimpunan Agung PBB berulang kali tersekat akibat penggunaan kuasa veto di Majlis Keselamatan,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-81 di New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Majlis Keselamatan PBB merupakan badan utama PBB yang bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa dengan 15 anggota termasuk lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Russia.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 174,000 lagi cedera di Gaza sejak Oktober 2023.
Mohamad berkata, keadaan itu menunjukkan kuasa veto bukan sekadar isu berkaitan struktur Majlis Keselamatan, sebaliknya mampu mengekang tindakan kolektif masyarakat antarabangsa ketika berdepan konflik dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penggunaan kuasa veto perlu dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh semua anggota Perhimpunan Agung PBB khususnya dalam kes membabitkan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Penggunaan kuasa veto mesti dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh setiap anggota Perhimpunan Agung ini. Terutamanya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan.
“Memperluaskan keanggotaan majlis ini sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kegagalannya. Kuasa veto inilah yang mesti dicabar dan kuasa veto inilah yang mesti dihapuskan. Kita mesti memulakan usaha ini sekarang,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu memulakan usaha pembaharuan Majlis Keselamatan dari sekarang sambil menegaskan masih ada masa untuk menyelamatkan orde global.
Katanya, kebuntuan dalam Majlis Keselamatan tidak sepatutnya membawa kepada kebuntuan PBB, terutama ketika badan dunia itu berdepan defisit kepercayaan yang semakin meningkat.
“Kepercayaan hanya boleh dipulihkan melalui tindakan konkrit, termasuk memastikan undang-undang antarabangsa ditegakkan dan masyarakat di seluruh dunia terus percaya bahawa suara mereka tetap penting,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Resolusi 76/262 telah mewujudkan saluran kebertanggungjawaban antara Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebertanggungjawaban berhubung penggunaan kuasa veto.
“Kita mesti memanfaatkan sepenuhnya Resolusi ini sebagai landasan ke arah kebertanggungjawaban yang lebih besar berhubung penggunaan kuasa veto,” katanya.
Mohamad berkata, PBB perlu beralih daripada sekadar bertindak balas terhadap krisis kepada usaha mencegahnya.-UTUSAN











