Kolej Keda tawar latihan teknologi motosikal elektrik

Kolej Keda tawar latihan teknologi motosikal elektrik

RUBIAH Wang menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Graduasi kali ke-13 Kolej Keda dan Pelancaran EV-MIACE di Sik, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) menjadi institusi latihan pertama di Kedah yang membuka laluan kepada pelajar mempelajari teknologi motosikal elektrik, sekali gus memperluas bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, modul pembelajaran itu akan dilaksana melalui kerjasama bersama Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sendirian Bhd. (Modenas) yang menubuhkan Academia Centre of Excellence (EV-MIACE).

Katanya, fasa pertama pelaksanaan melibatkan 25 pelajar baharu melalui pengambilan Julai lalu membuktikan komitmen Kolej Keda dalam memperkukuh TVET selaras dengan perkemba­ngan teknologi serta keperluan industri masa kini.

“EV-MIACE berfungsi sebagai pusat rujukan kecemerlangan dalam bidang teknologi motosikal elektrik yang memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri.

“Kerjasama ini juga meletakkan Kolej Keda di barisan hadapan dalam evolusi teknologi automotif negara,” katanya pada Majlis Pelancaran EV-MIACE dan Graduasi Kali Ke-13 Kolej Keda di sini, semalam.

Rubiah berkata, inisiatif itu turut memperkukuh keupayaan tenaga pengajar dan pelajar melalui pendedahan kepada teknologi terkini, khususnya dalam bidang motosikal elektrik yang semakin berkembang seiring transformasi industri automotif.

“Pendedahan kepada teknologi terkini juga selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi hijau dan transformasi industri automotif negara,” katanya.

Tambah beliau, selain program sepenuh masa kepada pelajar, EV-MIACE turut dirancang diperluas kepada masyarakat melalui penawaran kursus jangka pendek kepada individu yang ingin meningkatkan kemahiran dalam bidang penyelenggaraan dan teknologi motosikal elektrik.

Katanya, inisiatif itu dijangka dapat menyokong pembelajaran sepanjang hayat selain meningkatkan kompetensi tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri automotif yang makin berkembang.

Dalam pada itu, seramai 482 graduan Kolej Keda sesi Disember 2024 hingga Jun lalu menerima sijil masing-masing merangkumi 367 graduan TVET dan 115 graduan Tahfiz TVET. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×