Jangan tambah beban pesawah demi tingkatkan hasil

Jangan tambah beban pesawah demi tingkatkan hasil

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan produktiviti dan melaksanakan penanaman padi sehingga lima musim dalam tempoh dua tahun tidak boleh menambah beban pesawah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani, Mohamad Aswad Mohamed Amir berkata, pihaknya menyokong usaha tersebut sekiranya memberi manfaat kepada pesawah dan keterjaminan makanan negara.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya perlu disertai bekalan air mencukupi, infrastruktur yang bersedia serta teknologi yang mampu digunakan oleh golongan berkenaan.

“Kalau mahu menambah musim, pastikan air cukup. Kalau mahu meningkatkan produktiviti, pastikan infrastruktur bersedia.

“Kalau mahu menggunakan teknologi, pastikan pesawah mampu menggunakannya. Jangan tambah beban pesawah atas nama menambah hasil,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Mohamad Aswad berkata, sawah bukan sekadar lokasi untuk dikunjungi, sebaliknya menjadi punca kehidupan keluarga pesawah dan memastikan bekalan makanan ruji rakyat terus tersedia.

Katanya, kelangsungan Kedah sebagai negeri Jelapang Padi bukan sahaja bergantung kepada pemeliharaan kawasan sawah, tetapi juga kebajikan golongan yang mengusahakannya.

“Kejayaan industri padi tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah pengeluaran, sebaliknya, ukuran sebenar ialah sama ada kehidupan pesawah berubah menjadi lebih baik susulan peningkatan hasil tersebut.

“Kalau hasil naik tetapi hidup pesawah tidak berubah, kita belum boleh mengatakan bahawa kita sudah berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan pihak yang akan mengusahakan sawah dalam tempoh 20 tahun akan datang sekiranya bidang pertanian tidak menawarkan masa depan kepada generasi muda.

“Anak muda bukan tidak mahu menyertai bidang tersebut, namun mereka memerlukan pendapatan stabil, penggunaan teknologi serta peluang menjadikan pertanian sebagai kerjaya dan perniagaan yang boleh dibanggakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×