Dua pengasuh taska tidak mengaku aniaya kanak-kanak 

Dua pengasuh taska tidak mengaku aniaya kanak-kanak 

ZAIRIFAH Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Norlida Abdul Razak (dua dari kanan) dibawa ke Mahkmah Sesyen Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua wanita yang juga pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Cenderawasih Indah, dekat sini mengaku tidak bersalah atas dakwaan menganiaya dua kanak-kanak lelaki dalam kejadian berasingan pada Mei dan Ogos lalu.

Norlida Abdul Razak, 39, dan Zairifah Zainal Abidin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hamri Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, Norlida didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan emosi di taska berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang, 15 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Zairifah pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di premis sama kira-kira pukul 2.30 petang, 11 Ogos lalu.

Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain memohon syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Rusnizam Abdullah yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan.

Menurutnya, Norlida yang sebelum ini bekerja sebagai guru taska hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,400 sebulan dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang uzur.

Beliau berkata, Norlida juga sudah tidak bekerja di taska berkenaan dan kini menetap bersama keluarganya di Jerantut.

Bagi Zairifah pula, peguam berkenaan memaklumkan anak guamnya merupakan pemegang kad talasemia selain perlu menyara ibunya dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hamri Thamri membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi yang terlibat dalam kes tersebut.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Oktober ini bagi tujuan serahan dokumen.

Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas rakaman video yang memaparkan dakwaan kekasaran terhadap kanak-kanak di taska terbabit tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×