PETALING JAYA: Dua individu dipercayai seorang lelaki dan wanita telah merosakkan pagar utama serta sistem autogate Surau Ar Rayyan, Taman Bullion Mewah, Kuala Lumpur bagi mengeluarkan sebuah kereta yang ditinggalkan dalam kawasan surau berkenaan.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.20 malam selepas kedua-dua individu berkenaan kembali untuk mengambil Proton Saga BLM berwarna merah yang diletakkan di kawasan surau sejak pukul 7.48 malam.
Menurut pihak pengurusan surau, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki dipercayai mengopak pagar utama sehingga menyebabkan kerosakan pada sistem berkenaan.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan sebelum itu tiba dengan kenderaan tersebut dan meletakkannya di dalam kawasan surau walaupun terdapat papan tanda memaklumkan parkir tersebut dikhaskan untuk jemaah.
“Kedua-dua individu itu kemudiannya dipercayai meninggalkan kenderaan tersebut untuk menghadiri majlis perkahwinan di dewan berhampiran. Apabila mereka kembali, kawasan surau telah kosong dan pagar utama telah ditutup. Rakaman CCTV menunjukkan mereka masuk semula ke kawasan surau melalui pintu kecil laluan pejalan kaki.
“Apa yang berlaku selepas itu amat mengecewakan. Rakaman CCTV jelas menunjukkan seorang lelaki mengopak pagar utama dan merosakkan sistem autogate semata-mata untuk membuka laluan bagi mengeluarkan kenderaan mereka.
“Pagar dan sistem autogate tersebut merupakan kemudahan surau yang bernilai puluhan ribu ringgit dan dibina untuk kegunaan serta keselamatan jemaah,” katanya.
Menurut pihak pengurusan, rakaman CCTV kejadian itu berada dalam simpanan pihaknya dan kedua-dua individu berkenaan diminta tampil bagi memberikan penjelasan serta menyelesaikan kerosakan yang berlaku.
“Atas dasar mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik, pihak Surau Ar Rayyan meminta kedua-dua individu berkenaan tampil dan menghubungi pihak pengurusan dengan segera untuk memberikan penjelasan serta menyelesaikan kerosakan yang telah berlaku.
“Kami memberi ruang kepada pelaku untuk tampil dan menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya. –UTUSAN











