Beri subsidi terus kepada pesawah - Utusan Malaysia

Beri subsidi terus kepada pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pesawah di kawa­san Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meminta kerajaan menyalurkan subsidi input pertanian terutama baja dan racun terus kepada mereka melalui MyKad seperti meka­nisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Kaedah itu diyakini mampu mengatasi masalah kelewatan dan kualiti bekalan yang menghantui pesawah pada setiap musim, selain sudah terbukti berkesan daripada sebarang ketirisan.

Melalui MyKad, pesawah hanya boleh membeli barang­an yang ditetapkan sahaja dan tidak boleh ditukar kepada tunai atau barang lain.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, perkara itu pernah di­suarakan melalui pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Kerajaan boleh salurkan sahaja subsidi secara terus kepada pesawah untuk kami membeli baja, racun dan input pertanian lain agar tidak berlaku lagi masalah kelewatan pembekalan atau kualiti yang teruk.

“Subsidi itu dicadang dikre­ditkan seperti bantuan SARA iaitu satu nilai tertentu dikreditkan ke dalam MyKad,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan penanaman padi yang sepatutnya menjadi talian hayat pesawah didakwa lebih banyak membela kepentingan syarikat pembekal input pertanian berbanding golongan petani sendiri.

Beliau berkata, perkara itu perlu menjadi antara aspek disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan MADA.

Abdul Rashid berkata, kaedah sedia ada iaitu penyaluran subsidi melalui vendor, pengedar atau pengusaha jentera di bawah skim khusus seperti Skim Subsidi Baja Padi Kerajaan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) tidak lagi sesuai.

Ujarnya, skim sedemikian menyebabkan proses pembekalan mengambil masa terlalu lama termasuk prosedur penamatan syarikat yang gagal menyediakan baja sebatian tambahan atau Baja 3, baru-baru ini.

“Kaedah secara pasaran terbuka ini juga bakal menjamin kualiti baja kerana pengguna atau pesawah ini ada pilihan untuk guna baja syarikat mana dan sudah tentu pembekal sendiri akan memastikan produk mereka yang terbaik untuk penghasilan padi bermutu tinggi.

“Malah, kita juga cadangkan agar kerajaan menyenaraikan sehingga 10 syarikat yang petani boleh beli baja daripada mereka tanpa kita terikat kepada hanya satu pembekal seperti kaedah digunakan ketika ini,” katanya.

Abdul Rashid berkata, pesawah serik dengan isu menimpa mereka setiap kali menanam padi kerana proses pembekalan merupakan urusan manusia yang sepatutnya boleh di­uruskan secara baik berbanding faktor cuaca yang menjejaskan hasil tanaman.

Katanya, pihaknya kesal apabila setiap kali tiba musim pe­nanaman, akan berlaku ma­salah seperti baja lewat dan tidak berkualiti yang mengakibatkan kemerosotan hasil lebih 20 pe­ratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×