KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat jual beli kenderaan terpakai didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 71 pertuduhan menipu dalam urusan pembelian pelbagai jenis kenderaan bagi pihak mangsa berjumlah RM4.7 juta.
Bagaimanapun, tertuduh, Kee Cher Kian, 34, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga hakim.
Di hadapan Hakim Azrul Darus, tertuduh sebagai pengarah syarikat Buycar2u didakwa atas 26 pertuduhan menipu ahli perniagaan, Wong Yoong Jed supaya mempercayai terdapat pembelian pelbagai jenis kenderaan.
Perbuatan itu telah mendorong Yoong Jed untuk menyerahkan wang RM1.693 juta daripada akaun bank milik Lio Capital dan Viso Capital ke dalam akaun bank milik syarikat Buycar2u.
Di hadapan Hakim Norma Ismail, Cher Kian berdepan 30 pertuduhan serupa membabitkan individu sama membabitkan wang berjumlah RM1.981 juta.
Di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, dia didakwa atas 15 pertuduhan serupa terhadap mangsa sama melibatkan RM1.027 juta.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di beberapa cawangan bank di Kuala Lumpur, di sini, di antara 5 Julai dan 3 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Siti Suriatey Mohamed Yusoff dan Eugenie Meredith Gilbert manakala Cher Kian diwakili peguam bela, J. Matthews.
Hakim Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM180,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagi Hakim Norma dan Hakim Ilmami, jaminan ditetapkan masing-masing sebanyak RM10,000 dan RM25,000, menjadikan jumlah keseluruhan wang jamin adalah sebanyak RM215,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 16 Oktober ini. – UTUSAN










