KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya,masing-masing pada Julai dan Disember 2013.
Tertuduh, Noor Sarkawi Saleh, 59, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun kira-kira pukul 4.30 petang pada Julai 2013 di sebuah kedai di Jalan Mengabang Telipot, di sini.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari pada Disember 2013 di sebuah kedai di Dataran Austin, Jalan Gong Badak, di sini.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh 12 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi urusan lantikan peguam. – UTUSAN










