Banjir Nepal: Keluarga mangsa harap diberikan kepastian

Banjir Nepal: Keluarga mangsa harap diberikan kepastian

PARA pekerja membersihkan lumpur di kawasan banjir besar di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kami cuma mahu maklumat yang kukuh untuk tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini.”

Itu harapan S. Punitha, ibu saudara kepada Suguna Balan, 33, seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan selepas bencana banjir di Nepal pada 26 Ogos lepas, ketika hadir ke Wisma Putra hari ini bagi mengikuti perkembangan mengenai nasib mereka.

Punitha berkata, selepas 33 hari tanpa khabar, keluarga bukan sahaja masih bergelut dengan persoalan mengenai nasib insan tersayang, malah berdepan kesan kewangan dan emosi yang semakin dirasai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suguna merupakan penyumbang utama pendapatan keluarganya, dan kehilangan wanita itu memberikan kesan besar kepada keluarga yang kini memerlukan maklumat jelas untuk menentukan langkah seterusnya.

“Harap-harap kita akan dapat maklumat yang kukuh mengenai apa yang terjadi, dan apa langkah seterusnya yang perlu kita buat. Sudah 33 hari tetapi mengenai 55 mangsa ini, kita masih tidak mendapat berita.

“Malah, kami tidak dimaklumkan sama ada barangan mereka seperti bagasi atau barangan peribadi ditemukan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Dia bersama kakak dan abang iparnya, iaitu ibu bapa Suguna menghadiri taklimat berkenaan, namun mereka masih trauma dengan kehilangan anak dan sukar menerima apa yang berlaku.

Punitha yang tidak termasuk dalam kumpulan WhatsApp waris terdekat “KLN-NOK (next of kin)” berkata, keadaan itu kadangkala menyukarkan ahli keluarga lain mendapatkan maklumat secara langsung, terutama apabila ibu bapa mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

Sementara itu, M. Subramaniam, 38, yang merupakan menantu kepada Krishnan Vadivelu, 74, berkata, keluarga masih menaruh harapan bahawa mereka yang hilang mungkin terselamat atau berada di lokasi yang belum dapat dikenal pasti.

“Hari ini adalah hari ke-33. Semua keluarga terdesak untuk mendapat jawapan dan kami masih belum mempunyai jawapan sama ada mereka hidup ataupun tidak. Kami masih menaruh harapan tinggi bahawa ada berita mereka selamat ataupun mungkin tersangkut di mana-mana kem,” katanya.

Antara persoalan utama yang keluarga mahukan adalah penjelasan mengenai perkembangan pencarian di sempadan Nepal dan China, selain maklum balas daripada pihak berkuasa berkaitan.

Keluarga juga mahu mengetahui sama ada kumpulan rakyat Malaysia terbabit sempat melepasi imigresen Tibet sebelum bencana berlaku.

Dia mendakwa lokasi terakhir bapa mentuanya bersama 26 individu lain adalah di dalam sebuah bangunan dan maklumat mengenai lokasi itu telah disampaikan kepada Wisma Putra.

“Kami mahu tahu apa berlaku di sebelah sana. Adakah mereka melepasi imigresen Tibet atau tidak. Ada dikatakan tiga orang telah melepasi (imigresen), jadi siapakah tiga orang itu dan apakah nama mereka?,” katanya.

Subramaniam berkata, keluarga yang hadir ke Wisma Putra hari ini datang dengan harapan untuk mengetahui skop pencarian yang telah dilaksanakan, hasil operasi serta perkembangan daripada pihak berkaitan di Nepal dan Beijing.

Pertemuan tertutup hari ini adalah yang kedua menyusuli libat urus rasmi pertama kerajaan dengan keluarga terjejas pada 30 Ogos, lima hari selepas kejadian pada 26 Ogos, namun tidak semua keluarga dapat diwakili ketika itu.

Taklimat itu melibatkan antaranya wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan. – BERNAMA 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×