Usia 81 tahun bukan halangan Ah See cari rezeki

Usia 81 tahun bukan halangan Ah See cari rezeki

CHONG Ah See setia sebagai tukang kunci di bandar Jerantut Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pada usia 81 tahun, ketika kebanyakan individu seusianya menikmati kehidupan persaraan bersama keluarga, Chong Ah See masih setia membuka premis perniagaannya setiap hari untuk mencari rezeki sebagai tukang kunci, pekerjaan yang diceburinya lebih 45 tahun lalu.

Menerusi perniagaan atas nama Jaffa Marketing Enterprise di Jalan Tahan di sini, Ah See terus menawarkan perkhidmatan membuat pelbagai jenis kunci sekali gus menjadikan warga emas itu antara tukang kunci paling lama berkhidmat di bandar ini.

Katanya, bidang tersebut bukan sekadar sumber pendapatan, malah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak mula menceburinya ketika usia muda.

“Sudah lebih 45 tahun saya buat kerja ini. Selagi masih ada tenaga, saya terus bekerja kerana inilah mata pencarian saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Ah See, upah membuat kunci bermula se­rendah RM5 manakala bagi kunci tertentu boleh mence­cah lebih RM60, bergantung pada jenis dan tahap kesukarannya.

Dia bagaimanapun tidak menerima tempahan menghasilkan kunci peti besi kerana pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran khusus yang tidak dikuasainya.

Dilahirkan pada 5 Mei 1945 di Kampung Baru, Jerantut, warga emas itu berkata, dia dikurniakan tujuh anak namun tidak pernah bergantung kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Saya masih boleh cari makan sendiri. Tak perlu minta duit daripada anak-anak. Selagi ada kudrat, saya terus bekerja,” katanya.

Dia yang menyewa premis perniagaannya pada kadar kira-kira RM300 sebulan bersyu­kur kerana hasil perniagaan itu masih mampu menampung keperluan hariannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×