TAMPIN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri hari ini berkenan menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 50 penerima dalam kalangan asnaf di daerah ini sempena sambutan Maulidur Rasul.
Program bertemakan ‘Bersama Menghidupkan Sunnah, Menyemai Cinta Rasulullah SAW’ itu berlangsung di perkarangan Surau Al-Khusyu’, Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, sebagai usaha menyemarakkan semangat kebersamaan serta menghidupkan nilai murni yang diteladani daripada Rasulullah SAW.
Majlis berkenaan turut menekankan konsep berkongsi rezeki dan saling membantu, selaras dengan ajaran Rasulullah SAW yang menggalakkan umatnya mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan serta membudayakan amalan memberi kepada sesama insan.
“Sumbangan berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah menjadi manifestasi tanggungjawab sosial pihak korporat dan badan kebajikan dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya golongan asnaf yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan,” titah baginda.
Menurut Tunku Syed Razman, penganjuran program berkenaan diharap dapat menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi penghayatan sunnah dalam kehidupan seharian, selain menjadikan Maulidur Rasul sebagai momentum memperkukuh amalan kebajikan dan nilai kasih sayang sesama insan. – UTUSAN











