Thailand minta bantuan PDRM kesan kumpulan pemisah

Thailand minta bantuan PDRM kesan kumpulan pemisah

MOHD. Khalid Ismail (kiri) bersama Mohd. Yusoff mengadakan lawatan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Thailand sudah meminta bantuan untuk mengesan pergerakan individu yang mempunyai kaitan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) susulan pergolakan yang kembali memuncak di tiga wilayah selatan negara berkenaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut dan membantu pihak berkuasa Thailand dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Ia bukan perkara baharu kerana kami (PDRM) sememangnya menerima permintaan sedemikian daripada pihak berkuasa Thailand dari semasa ke semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada dulu lagi perkara ini memang kami terima tapi kami akan melaksanakan dari semasa ke semasa segala perkara yang diminta oleh mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di pangkalan haram Lubok Gong di sini bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati ketika melakukan perjalanan ke negara jiran susulan perkembangan keselamatan di Selatan Thailand.

“Saya minta rakyat Malaysia supaya berhati-hati semasa melakukan perjalanan ke negara jiran supaya keadaan diri, keselamatan diri itu sentiasa berada di tahap yang baik dan dapat dielakkan daripada perkara-perkara yang di luar dugaan yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Mohd. Khalid sementara itu berkata, pihak polis sudah mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan menambah anggota, menggunakan dron serta peralatan canggih bagi memastikan tiada ketirisan berlaku di sempadan.

Katanya, kawalan berterusan turut diperlukan bagi mencegah penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan keperluan harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini