PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 supaya menghentikan serta-merta semua aktiviti di luar bilik darjah termasuk kegiatan sukan dan keramaian berikutan cuaca panas serta jerebu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, KPM sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan situasi jerebu dan cuaca panas di luar jangkaan.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa merujuk Surat Siaran KPM Bilangan 5 Tahun 2016: Persediaan Sekolah Berhubung Penjagaan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Murid Semasa Menghadapi Cuaca Panas dan Kering Berpanjangan bertarikh 26 April 2016.
“Ia termasuk Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Langkah-langkah KPM bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid di Sekolah yang Berada Dalam Kawasan Jerebu yang
Dianggap Kritikal bertarikh 15 Januari 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, institusi pendidikan juga perlu peka dan memantau bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
“Manakala bagi penganjuran acara sukan yang berlangsung di peringkat Majlis Sukan Sekolah (MSSM) dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) akan diselaraskan semula lokasi pertandingan ke kawasan yang lebih selamat atau dijalankan secara tertutup sekiranya perlu,” katanya.
Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah serta semua institusi pendidikan bawah KPM disarankan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan termasuk aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.
“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta merta selain memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Murid juga digalakkan mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan selain membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman,” katanya.
Langkah pencegahan itu juga melibatkan aspek untuk sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu dan cuaca panas.
“KPM akan memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberikan keutamaan dari semasa ke semasa,” jelasnya. – UTUSAN











