KUALA LUMPUR: Kehilangan seorang ibu bukan sekadar meninggalkan ruang kosong dalam sesebuah keluarga, malah mampu mengubah dinamika, hubungan dan cara setiap ahli keluarga melihat kehidupan.
Persoalan itu menjadi teras filem Indonesia, Rumah Tanpa Cahaya yang merupakan sebuah drama keluarga arahan Odi Harahap mengangkat kisah sebuah keluarga berdepan kehilangan insan yang selama ini menjadi nadi kehidupan mereka.
Menurut penulis skrip Deddy Mizwar, filem ini membawa tema kehilangan dan bagaimana kasih seorang ibu tetap hidup serta terus membimbing keluarganya walaupun jasadnya sudah tiada.
“Rumah Tanpa Cahaya tidak hanya bergantung kepada elemen kesedihan, sebaliknya mengajak penonton melihat semula perkara kecil yang sering dianggap biasa dalam kehidupan seharian.
“Makanan yang tersedia di meja, doa seorang ibu, nasihat yang kadangkala tidak didengari serta kehadiran seseorang yang hanya disedari nilainya selepas dia pergi.
“Persoalan yang cuba ditinggalkan filem ini juga cukup dekat dengan kehidupan penonton, apabila seorang ibu pergi, siapa yang akan menyatukan sebuah keluarga?
“Melalui kisah keluarga Qomar, filem ini mengingatkan bahawa sesebuah rumah bukan hanya dibina dengan dinding dan atap, tetapi turut berdiri atas kasih sayang, pengorbanan dan kehadiran insan yang menyatukan semua penghuninya,” katanya.

Menampilkan barisan pelakon seperti Ira Wibowo sebagai Nurul, Donny Damara sebagai Qomar, selain Ridwan A. Ghany sebagai Samsul dan Lavicky Nicholas sebagai Azizi, filem edaran Horizon Film Entertainment menemui penonton di pawagam Malaysia bermula semalam.
Dalam filem ini, Nurul bukan sekadar seorang isteri dan ibu, sebaliknya menjadi tulang belakang kepada keluarga Qomar.
Selain menguruskan keluarga, Nurul turut membantu menghidupkan warung Empal Gentong yang menjadi sumber rezeki mereka. Lebih daripada sekadar perniagaan, warung itu menjadi tempat keluarga berkongsi kehidupan, kasih sayang dan pelbagai kenangan.
Namun, kehidupan mereka berubah selepas Nurul meninggal dunia secara mengejut.
Pemergian itu membuatkan Qomar kehilangan insan yang selama ini menjadi tempat bergantung, manakala Samsul dan Azizi mula berdepan hakikat bahawa mereka mungkin terlalu terbiasa dengan pengorbanan ibu sehingga tidak pernah benar-benar memahami nilainya.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila hubungan antara ahli keluarga mula retak dan warung yang menjadi sumber kehidupan mereka turut berdepan masalah.
Gandingan Ira Wibowo dan Donny Damara menjadi antara tarikan utama filem ini apabila kedua-duanya membawa watak pasangan suami isteri yang perlu berdepan perubahan besar dalam keluarga selepas pemergian Nurul.
Ira menerusi watak Nurul menjadi simbol seorang ibu yang kehadirannya begitu dekat dengan kehidupan keluarga sehingga nilai sebenar pengorbanannya hanya benar-benar dirasai selepas dia tiada.
Pada masa sama, Donny sebagai Qomar pula perlu membawa watak seorang suami dan bapa yang cuba meneruskan kehidupan sambil berdepan kehilangan insan yang selama ini menjadi kekuatan keluarganya.
Kehadiran Ridwan A. Ghany dan Lavicky Nicholas sebagai Samsul dan Azizi turut menambah lapisan konflik menerusi hubungan dua beradik yang mula berubah selepas kehilangan ibu mereka.









