BATU CAVES: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum supaya selaras dengan keperluan gaji sara hidup, selain mengkaji semula Perintah Gaji Minimum sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.
Desakan itu antara 21 resolusi yang diluluskan pada Kongres Nasional PSM ke-28 di sini, Ahad lalu, bagi mengemukakan tuntutan parti berhubung ekonomi, kebajikan rakyat, kesihatan, pendidikan dan reformasi institusi.
PSM berkata, semakan kadar gaji minimum itu perlu dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Tingkatkan gaji minimum supaya ia selaras dengan gaji untuk sara hidup. Kerajaan hendaklah mengkaji semula Perintah Gaji Minimum sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun seperti yang diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” katanya.
Dalam resolusi sama, PSM turut mendesak kerajaan mengawal harga barangan asas serta melaksanakan sistem percukaian lebih progresif dengan meningkatkan cukai terhadap golongan kaya dan badan korporat.
“Kerajaan harus melaksanakan sistem percukaian yang lebih progresif bagi mengurangkan ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan, dengan memperkenalkan cukai pusaka, cukai kekayaan dan cukai ke atas rumah kedua atau rumah yang dibiarkan kosong,” katanya.
Dalam aspek kesihatan, PSM mahu kerajaan menghentikan penswastaan perkhidmatan kesihatan serta membantah sebarang pengurangan perbelanjaan kerajaan dalam sektor berkenaan.
Katanya, PSM mencadangkan lebih banyak hospital awam dibina selain mengenakan moratorium terhadap pembinaan hospital swasta baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Kerajaan harus memperkasakan sistem kesihatan awam dengan meningkatkan belanjawan kesihatan awam, bukannya mengharapkan dana melalui penswastaan,” katanya.
Dalam isu perumahan pula, PSM menggesa kerajaan mengawal harga dan kadar sewa rumah serta meningkatkan pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik yang berkualiti.
“Kerajaan harus mengawal harga rumah dan kadar sewa rumah. Kerajaan perlu meningkatkan pembinaan rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik yang berkualiti.
“Kerajaan perlu mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam penyelenggaraan dan pemuliharaan rumah pangsa kos rendah,” katanya.
Bagi menjamin keterjaminan makanan pula, PSM mahu ancaman pengusiran terhadap petani dan penternak dihentikan serta petani kecil diberikan keutamaan melalui subsidi bersasar, jaminan harga dan akses kepada tanah pertanian.
“Tanah pertanian untuk makanan yang sedia ada tidak harus ditukar kepada kegunaan lain. Tanah terbiar atau tanah simpanan perlu diagihkan kepada petani yang boleh mengusahakannya,” katanya.
Dalam pada itu, PSM menggesa kerajaan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan bandar dan luar bandar dengan mengehadkan pembinaan lebuh raya baharu serta meningkatkan pelaburan dalam pengangkutan awam.
PSM mahu dana yang dijimatkan daripada pengurangan subsidi petrol digunakan bagi membiayai sistem pengangkutan awam, termasuk meningkatkan ketersambungan first-mile dan last-mile serta memperluas laluan khas bas.
Dalam bidang pendidikan, PSM mendesak pendidikan percuma dilaksanakan dari peringkat prasekolah hingga ijazah pertama serta membantah pengurangan perbelanjaan kerajaan terhadap pendidikan awam.
“Laksanakan pendidikan percuma dari peringkat pra-sekolah hingga ijazah pertama. Bantah pengurangan perbelanjaan kerajaan dalam pendidikan awam. Kerajaan harus melaksanakan program sarapan percuma di semua sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Kerajaan harus memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap peminjam PTPTN.
“Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak harus menawarkan program/kursus yang tidak mempunyai skop pekerjaan dan tidak menyumbang kepada pembangunan nilai kemanusiaan.
“Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan untuk mewujudkan mata pelajaran atau modul pendidikan mengenai pembanterasan rasuah di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membentuk budaya integriti sejak usia muda,” katanya. – UTUSAN











