CYBERJAYA: Penswastaan tidak boleh hanya mengejar keuntungan dan kecekapan sehingga mengorbankan kebajikan pekerja, sebaliknya kejayaannya perlu turut diukur berdasarkan manfaat yang dinikmati golongan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, model penswastaan di Malaysia perlu memberi manfaat yang lebih menyeluruh, termasuk memastikan pekerja turut menikmati pulangan daripada peningkatan keuntungan syarikat.
Katanya, aspek kebajikan pekerja perlu menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam setiap proses penswastaan bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara lebih adil.
“Penswastaan tidak boleh hanya sekadar membolot kekayaan, memperbaiki kedudukan golongan atasan dan meminggirkan golongan pekerja,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 TM di Dewan Tunku Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.
Menurut Anwar, pendekatan itu penting bagi memastikan penswastaan bukan sekadar meningkatkan kecekapan dan keuntungan syarikat, sebaliknya turut memperbaiki taraf hidup serta kesejahteraan pekerja.
Katanya, ketika proses penswastaan Jabatan Telekom pada era 1990-an, kerajaan memberi penekanan bukan sahaja kepada kecekapan dan keuntungan, tetapi turut mengambil kira kebajikan pekerja.
Beliau menjelaskan, perkara itu termasuk soal gaji dan upah yang lebih lumayan, penyediaan perumahan lebih baik serta kebajikan dan pendidikan anak-anak pekerja.
Sementara itu, Anwar berkata, rakyat Malaysia tidak boleh terperangkap dalam budaya selesa dengan sekadar berpuas hati terhadap pencapaian sedia ada sehingga membiarkan kelemahan, kerosakan dan kemunduran berterusan.
Katanya, budaya selesa dengan pencapaian semasa boleh menyebabkan sesebuah negara, agensi atau syarikat menjadi lemah dan hambar sekiranya tiada tekad untuk terus melakukan pembaharuan.
“Kadang-kadang kalau ada agensi atau syarikat rugi RM10 bilion, RM12 bilion, tapi kita masih kata, ‘Okay, tak ada apa-apa, biasa.’ Biasa apa biasa? Tak boleh.
“Ini budaya yang akan menyebabkan kita bukan selesa rugi. Disebabkan itu harus ada tekad,” katanya.
Menurut Anwar, negara justeru itu perlu terus dipacu dengan lebih kuat dan pantas bagi memastikan kemajuan yang dicapai sentiasa mendahului perubahan zaman.
“Malaysia mesti berhasil. Malaysia mesti berjaya. Dan kita mampu berjaya. Syaratnya adalah, mana negara yang boleh terangkat martabat dan harakat dan darjatnya dengan keadaan mengekalkan situasi yang lama, lembab dan penuh dengan kebobrokan sistem, kemalasan? Tidak mungkin,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan teknologi yang semakin pantas menuntut Malaysia bergerak seiring dengan perubahan, termasuk dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum.
Katanya, beliau berbangga apabila Telekom Malaysia (TM) dan MMU antara pihak yang pantas menyambut agenda transformasi digital negara sejak beberapa tahun lalu.
Anwar berkata, TM dan MMU turut menunjukkan kesediaan menyambut perkembangan baharu dalam bidang multimedia dan AI, sekali gus membuktikan kepentingan institusi serta syarikat tempatan untuk terus berada di hadapan dalam tuntutan zaman.
Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada aspek keterangkuman malah memastikan negara mempunyai budaya mengejar kecemerlangan dalam semua bidang.-UTUSAN











