ALOR SETAR: Hanya 62 daripada 945 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia setakat 2022 mempunyai pemilikan majoriti Bumiputera yang memerlukan jurang besar itu ditangani bagi mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera pula kini berada pada tahap 18.4 peratus, berbanding sasaran 30 peratus menjelang 2035.
“Dua tahun lalu, melalui Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, kita telah menetapkan satu anjakan penting iaitu Agenda Bumiputera mesti bergerak dengan sasaran yang jelas, boleh diukur dan dipertanggungjawabkan.
“Tetapi, hari ini jurangnya masih ketara. Sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih sekitar 8.1 peratus, berbanding sasaran 15 peratus menjelang 2035,” katanya pada Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu jelas menunjukkan masih banyak ruang untuk diperbaiki memandangkan tahun 2035 hanya tinggal kurang satu dekad untuk tiba.
“Sedangkan struktur ekonomi dunia berubah pantas melalui kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, automasi, semikonduktor dan industri bernilai tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga anjakan besar dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera iaitu menyatukan ekosistem, beralih daripada melahirkan kepada membesarkan usahawan serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut membesarkan syarikat tempatan.
Ahmad Zahid berkata, semua kementerian, agensi, institusi kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu bergerak dalam ekosistem yang lebih bersepadu bagi memudahkan usahawan mendapatkan pembiayaan, latihan dan akses pasaran.
“Jika kita lambat membuat anjakan, kita bukan sahaja berisiko gagal mencapai sasaran PuTERA35, tetapi sekali lagi hanya menjadi pengikut dalam sektor-sektor yang akan mencipta kekayaan baharu dunia.
“Sebab itu, jika dahulu tumpuan kita ialah membuka ruang penyertaan, hari ini kita mesti bergerak lebih jauh daripada penyertaan kepada pemilikan, daripada pemilikan kepada kekuatan dan daripada kekuatan kepada penguasaan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang turut menggesa pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian dan kerajaan negeri disegerakan dan dipastikan benar-benar berfungsi.
“Perkara ini sudah lama dicadangkan, sudah disebut berkali-kali dan sudah pun diperincikan melalui pekeliling. Saya tidak mahu perkara ini terus tertangguh. Kalau kita benar-benar mahu memperkasa usahawan Bumiputera, maka pelaksanaannya mesti dibuat dengan bersungguh-sungguh,” katanya.-UTUSAN











