PETALING JAYA: Pelabur kaya dan bernilai bersih tinggi di Malaysia semakin menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam urusan kewangan dan pelaburan, namun masih mengutamakan kepakaran manusia dalam membuat keputusan.
Tinjauan baharu yang dikendalikan Ipsos dan dikomisyen oleh HSBC mendapati lebih daripada separuh atau 58 peratus masih ingin melihat sinergi manusia-AI ketika mengambil keputusan kewangan.
HSBC berkata, tinjauan terhadap kira-kira 10,000 individu mewah dan bernilai bersih tinggi di 10 pasaran mendapati 85 peratus responden di Malaysia menggunakan AI untuk kewangan.
“Kadar itu meletakkan Malaysia antara tiga pasaran utama dari segi penggunaan AI bagi urusan kewangan, setara dengan tanah besar China pada 85 peratus dan hanya di belakang India pada 86 peratus
“Selain kewangan, AI turut digunakan untuk pembangunan kerjaya dan peribadi, masing-masing pada kadar 64 peratus,’ katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, HSBC berkata, penggunaan AI yang tinggi tidak menghakis kepercayaan pelabur terhadap profesional dan institusi kewangan.
Menurutnya, sebanyak 65 peratus responden masih memilih profesional dan institusi kewangan sebagai sumber utama idea pelaburan, manakala 39 peratus menganggapnya sebagai faktor paling berpengaruh dalam keputusan pelaburan, hampir dua kali ganda berbanding pengaruh perkakas AI pada 16 peratus.
“Keyakinan menjadi sebab utama pelabur terus bergantung kepada profesional dan institusi kewangan, dengan 85 peratus responden menyatakan faktor itu, diikuti kepakaran strategik pada 76 peratus
“Antara peranan manusia yang dianggap penting termasuk mengesan kesilapan dalam data yang dijana AI (31 peratus), memberikan tafsiran peribadi terhadap data kompleks (31 peratus) serta menilai dan mengesahkan maklumat (30 peratus),” ujarnya.
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia Linda Yip berkata, teknologi memberi kelajuan, tetapi jalinan sesama manusia memberi kepercayaan.
“Masa hadapan perbankan terletak pada kerjasama lancar antara dapatan pacuan AI dengan kepakaran manusia.
“Dengan memadankan analitik maju dengan perhubungan manusia, kami berhasrat membantu klien kami dengan keyakinan untuk memahami, melabur dan memburu pertumbuhan di landskap kewangan yang semakin kompleks,” jelasnya.
Daripada beberapa generasi yang ditinjau, Gen-Z (berusia 21 hingga 29 tahun) dan Millennial (berusia 30 hingga 45 tahun) didapati pengguna paling tegar AI untuk membuat keputusan kewangan dan pelaburan, masing-masing pada kadar 86 peratus dan 89 peratus.
Tambahnya, ini diikuti Generasi X (dari 46 ke 61 tahun) pada 85 peratus dan Baby Boomer (berusia 62 hingga 69 tahun) pada 78 peratus.
“Walaupun penggunaan AI adalah tinggi rentas generasi, data menunjukkan bahawa ini tidak mengurangkan peri penting nasihat profesional untuk mana-mana kelompok umur.
“Sebanyak 58 peratus responden berkata pendekatan ideal dalam mengambil keputusan kewangan pada masa hadapan diterajui oleh kerjasama Manusia-AI.
“Untuk Gen Z, ini termasuk menganalisis prestasi portfolio (61 peratus) dan menjana idea pelaburan baharu (57 peratus); untuk generasi Millennial, pola yang sama dilihat, pada kadar 53 peratus untuk kedua-dua tugas yang sama,” katanya. –UTUSAN










