Pandanglah kepada bakat Aliff Aziz - M. Nasir - Utusan Malaysia

Pandanglah kepada bakat Aliff Aziz – M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Adalah empat orang (memboikot), yang lain ramai menyokong.”

Itu pandangan sifu, Datuk M. Nasir apabila diminta berkongsi pendapat tentang isu boikot membabitkan teater Mansur & Liu gara-gara penggunaan khidmat pelakon, Aliff Aziz sebagai watak utama.

Kata beliau, pemilihan Aliff selaku tunjang teater itu adalah tepat sementelah dia dikira pelakon yang sesuai membawakan watak berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru M. Nasir meminta masyarakat membuka mata terhadap bakat dimiliki pelakon itu berbanding cerita sensasinya.

“Pemilihannya bukan dibuat secara membabi buta. Banyak perkara yang saya ambil kira.

“Saya pun baru kenal dia (Aliff). Dia, pada saya, sesuai dengan peranan tersebut. Pandanglah kepada bakat dia,” katanya.

M.Nasir berkata demikian semasa sidang media Konsert Magnum Opus dekad ke-5 bertempat di Istana Budaya, petang tadi.

Teater berkenaan, yang diarahkan M. Nasir, mendapat kecaman segelintir masyarakat yang menolak pemilihan Aliff sebagai pelakon utama.

Namun, M. Nasir mempertahankan keputusannya kerana menganggap Aliff sebagai pelakon yang bekerja keras dalam menjalankan tugasnya.

“Saya suka pada orang yang bekerja bersungguh-sungguh. Dalam hidup ini kita berdepan dengan banyak pilihan.

“Adakalanya, pilihan saya itu mendatangkan tekanan. Saya harap saya mampu menghadapinya dengan fikiran yang rasional,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, M. Nasir sekali lagi bakal mengadakan konsert di Istana Budaya pada 5 Disember ini di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Tiket berharga antara RM288 sehingga RM1588 boleh ditempah menerusi laman www.ilassotickets.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini