Kuala Lumpur (KL) boleh menjadi destinasi aktiviti festival dari aspek sosial, kebudayaan, kesukanan, masyarakat dan budaya serta seni.
Ada beberapa program dan acara yang boleh dijadikan festival atau program besar bagi menjadikan KL lebih hidup, dan bukannya penganjuran festival yang boleh memberi imej buruk kepada bandar raya dan negara ini.
Festival tersebut boleh dianjurkan dengan aktiviti seni dan kebudayaan dengan pembabitan aktvitis seni dan budaya, badan badan seni sekitar Lembah Klang seperti program deklamasi atau baca puisi, persembahan teater, tarian atau apa juga acara kebudayaan dengan syarat mestilah menonjolkan jati diri budaya tempatan.
Jangan lagi mengulangi kesilapan sebelum ini dengan menganjurkan festival yang tidak ada kena mengena dengan rakyat tempatan yang mendatang impak negatif dan cemuhan.
Kalau susah sangat program keagamaan seperti syarahan perdana, bacaan al-Quran atau KL bertasbih, boleh diadakan di tempat tempat terpilih sekitar Kuala Lumpur atau berhampiran bangunan bangunan warisan atau ikonik sekitar KL.
Satu lagi program yang tidak kurang menariknya adalah aktiviti permainan tradisional seperti congkak, gamelan, batu seremban, konda-kondi, mencanting batik dan sebagainya.
Harap Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOCAT) tidak terlepas pandang dengan program seperti ini, meski pun Kuala Lumpur sudah ada Festival Ramadan dan juga makan tradisional.
Tidak ada salah acara tersebut diteruskan. Itu belum mengambil kira penganjuran pesta kebudayaan negeri Sabah dan Sarawak yang boleh menonjolkan kepelbagaian etnik.
Saya ralat sebab ramai yang memandang sinis penganjuran sebuah festival di Bukit Bintang sebelum ini. Segelintir daripada kita menyifatkan sebagai program pembaziran merujuk kepada semburan air dan rasa tidak puas hati kerana ketika ada kawasan kekurangan air, sebaliknya berlaku pula pembaziran di ibu kota.
Mungkin MOCAT berbangga dengan kenyataan menterinya Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa penganjuran program tersebut menjana RM392.33 juta selain menarik kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Acara tersebut khabarnya menarik kunjungan 100,000 pelancong antarabangsa dari China, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, selain Kuala Lumpur, program itu turut diperluaskan ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi yang secara keseluruhannya menarik kira-kira 165,000 pengunjung lagi.
“Hasil penganjuran festival utama di Kuala Lumpur dianggarkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM320.43 juta, manakala program di negeri-negeri lain menyumbang RM71.9 juta kepada ekonomi tempatan, ” katanya.
Peranan MOCAT penting dalam menjana pendapatan menerusi perbelanjaan pelancong, malah sesetengah negeri mewujudkan portfolio pelancongan bersama kebudayaan sekali, dan kita faham apa tujuannya.
Namun jangan lah lagi menjadikan Bukit Bintang sebagai lokasi pub terbuka dengan penganjuran budaya hiburan melampau atau hedonisme ini, walaupun mungkin niatnya menunjukkan kepada dunia, Kuala Lumpur bukan bandar raya kolot, tidak ada hiburan.
Bukit Bintang ialah segi tiga emas yang mungkin setaraf Makati, Manila atau menyamai populariti Ancol di Jakarta.
Namun Bukit Bintang tidak terkenal dengan aktiviti kebudayaan atau lokasi tidak sesuai untuk acara kebudayaan?
Namun bukan pula mewajarkannya sebagai lokasi aktiviti hiburan melampau seperti street dance iaitu berjoget atas jalan.
Tidak ada acara kebudayaan? Busuk-busuk pun anjurkan sahaja Warna Warna Malaysia yang pernah dipopularkan satu ketika dahulu di bawah menteri Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Program tersebut mempersembahkan tarian kebudayaan dan muzik tradisional, sekurang-kurangnya memperkenalkan khazanah warisan bangsa Malaysia yang kita miliki, bukan budaya asing yang menjengkelkan.
Tatkala Bukit Bintang meriah dengan program tersebut, negara jiran Singapura pula menampilkan seni persembahan dikir barat yang popular di Pantai Timur dan semua tahu mengenainya kerana ia dikongsikan menerusi aplikasi Threads.
Kalau malu juga meniru negara jiran itu, kita anjurkan sahaja acara main batu Seremban atau main congkak atau main tarik upih atau berlari sambil menyorok dalam kain sarung.
Saya pasti ada yang tersenyum sinis atau ketawa panjang dengan cadangan itu sebab dianggap terlalu kekampungan, apatah lagi untuk dibawa ke tengah tengah Kuala Lumpur.
Sekurang-kurangnya penganjuran budaya hedonisme dalam suasana terbuka dapat dikurangkan atau dihapus sekali gus.
Saya teringat malam puisi Gemuruh di Dataran Merdeka beberapa hari sebelum itu sempena penganjuran program Kota Baca kerana kehadirannya tidak seramai pesta di Bukit Bintang.
Barangkali penganjur perlu mengundang nama-nama besar untuk menarik ramai membaca puisi atau berlakon teater seperti artis Dolla.
Pesta baca puisi Gemuruh dan lakonan teater anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dalam program Kota Baca juga menawarkan banyak trak sajian makanan yang pelbagai dan harga berpatutan. Boleh pun.
Begitu juga Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang dianjurkan saban tahun boleh menarik pengunjung dan memberi gambaran KL ialah kota membaca dan kota ilmu.
Ada beberapa bandar raya di dunia yang dikategorikan paling menarik kunjungan pelawat kerana nilai-nilai seni, elemen sejarah dan gaya hidup rakyatnya.
Satu ketika Melbourne, Australia menduduki tempat teratas kerana ciri ciri gabungan budaya, makanan, seni dan gaya hidup yang luar biasa.
Ibu kota kebudayaan Australia itu telah lama terkenal dengan kreativitinya, dan pelawat mendapati bandar ini berkembang pesat dengan budaya kafe yang berkembang maju, seni jalanan dan muzik yang rancak.
Bandar ini juga terkenal dengan restoran di lorong-lorongnya dan kedai butik yang mencipta pengalaman bandar yang menarik.
Sebuah lagi bandar raya yang menarik dilawati ialah Shanghai. Selain Shanghai, kota London kekal sebagai salah sebuah bandar yang paling banyak dikunjungi di dunia, dan ia terus berkembang sebagai ibu kota budaya global.
Cape Town , Afrika Selatan juga dianggap sebagai salah sebuah bandar yang paling indah di dunia. Kota Bangkok juga tidak kurang hebatnya dengan makanan di jalanan dan monumen-monumen yang menarik pengunjung. Untuk lebih pasti, tanyalah mereka yang pernah ke bandar raya berkenaan.
Dalam hal ini, saya ingin memetik kata-kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh supaya kita menghargai bangunan-bangunan warisan di ibu kota.
Kata beliau, bangunan tersebut tidak akan bermakna sekiranya kita tidak mempunyai rakyat yang menghargai bangunan-bangunan ini, warisan kaya yang kita miliki serta potensi yang ditawarkan oleh bandar raya ini.
Ini kerana katanya, bangunan warisan semata-mata tidak mampu menghidupkan sesebuah bandar raya. Pada saya bangunan tersebut bernyawa tanpa suara tapi mampu menggamit pelancong.
Kesimpulannya KL juga mempunyai aset dan daya tarikan, sama seperti bandar bandar yang disebutkan itu dan jati diri rakyat Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum wajar ditonjolkan.
Ingatlah kita pernah promosikan slogan Malaysia Truly ASEAN. Hanya perlu suburkan makna di sebalik slogan berkenaan. Malangnya dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, tidak banyak aktiviti yang memeriahkan KL sebagai kota yang mempunyai daya penarik atau kita cuba menonjolkan KL dalam dimensi berbeza. Tahniah Hannah kerana melihat KL yang punyai daya penarik tersendiri. –UTUSAN











