KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan gagal mengisytiharkan aset bernilai ratusan juta ringgit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, Ismail Sabri, 66, yang merupakan Perdana Menteri yang ketiga berdepan tuduhan mahkamah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Beliau kemudian dibebaskan sementara menunggu perbicaraan selepas anaknya membayar ikat jamin RM300,000 di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 dengan tidak sengaja tidak mengisytiharkan hartanya.
Ia melibatkan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing termasuk RM14,772,150; AS$1,461,400; €12,164,150; ¥363,000,000; GBP50,250; NZD44,600; AED34,750,000 dan AUD$352,850.
Turut disenaraikan adalah lima ketul jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu, sekeping perak dengan berat 100 gram serta sekeping syiling emas 999 seberat lima gram.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin selain memohon pasport Ahli Parlimen Bera itu diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Perdana Menteri kesembilan itu membantah permohonan berkenaan dengan menyifatkan jumlah RM500,000 sebagai keterlaluan dan bersifat menghukum.
Mahkamah kemudian membenarkan Ismail Sabri diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin selain tidak menetapkan sebarang syarat tambahan.-UTUSAN











