IOI Properties catat hasil RM4.44 bilion pada tahun kewangan 2026

IOI Properties catat hasil RM4.44 bilion pada tahun kewangan 2026

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatat peningkatan hasil sebanyak 45 peratus kepada RM4.44 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM3.06 bilion pada tahun kewangan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatat peningkatan hasil sebanyak 45 peratus kepada RM4.44 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM3.06 bilion pada tahun kewangan 2025.

Pertumbuhan kukuh itu didorong prestasi memberangsangkan ketiga-tiga segmen teras kumpulan, iaitu pembangunan hartanah,pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah yang masing-masing mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 35 peratus, 49 peratus dan 79 peratus.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 82 peratus kepada RM2.65 bilion berbanding RM1.45 bilion pada tahun sebelumnya, sebahagian besarnya disumbangkan keuntungan penilaian semula South Beach berjumlah RM502.8 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tanpa mengambil kira item luar biasa, PBT asas kumpulan melonjak 91 peratus kepada RM1.30 bilion, terutama hasil sumbangan kukuh segmen.

Segmen Pembangunan Hartanah mendapat manfaat daripada pengiktirafan jualan tanah di Jalan Ampang dan Melaka, manakala segmen Pelaburan Hartanah diperkukuh peningkatan kadar penghunian fizikal di IOI Central Boulevard Towers serta tambahan sumbangan daripada South Beach Tower.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng, berkata pencapaian tahun kewangan 2026 mencerminkan usaha bersepadu setiap pasukan dalam mencapai objektif kumpulan, meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Prestasi ini membuktikan keberkesanan strategi kami untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, memanfaatkan permintaan sektor perindustrian serta melancarkan produk yang memenuhi kehendak pasaran, selain meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam ketiga-tiga segmen teras.

“Memasuki tahun kewangan 2027, kami mengakui cabaran ekonomi global dan risiko geopolitik mungkin berterusan.

“Bagaimanapun, kumpulan kekal berhati-hati optimistik terhadap prestasi kewangan, disokong permintaan kukuh terhadap produk hartanah yang pelbagai serta sumbangan yang semakin meningkat daripada segmen Pelaburan Hartanah,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, IOIPG mengisytiharkan dividen interim sebanyak 8.0 sen dan dividen khas 8.0 sen, menjadikan jumlah dividen bagi FY2026 sebanyak 16.0 sen.

Bagi tahun kewangan 2026, segmen pembangunan hartanah merekodkan jualan kukuh sebanyak RM3.91 bilion.

Projek tempatan kekal sebagai penyumbang utama dengan RM3.53 bilion atau 91 peratus daripada jumlah jualan, diikuti projek di Republik Rakyat China (PRC) sebanyak RM247.7 juta atau enam peratus dan Singapura RM132.3 juta atau tiga peratus.

Di Malaysia, Lembah Klang menyumbang RM2.65 bilion, terutama menerusi jualan tanah perindustrian di IOI Industrial Park Banting dan tanah komersial di Jalan Ampang, selain sumbangan stabil daripada perbandaran sedia ada kumpulan.

Bandar Puteri Puchong menjadi penyumbang terbesar dalam kalangan perbandaran kumpulan, didorong kadar pengambilan luar biasa bagi projek The Cube Plus.

Sementara itu, wilayah Johor merekodkan jualan RM875.5 juta, disokong perbandaran matang dan berkembang seperti Bandar Putra Kulai serta Taman Kempas Utama, selain jualan tanah perindustrian.

Lee berkata, momentum jualan kukuh itu membawa kepada rekod tertinggi jualan belum dibilkan sebanyak RM2.51 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh terdekat hingga sederhana.

Pada masa sama, inventori siap terus menurun sebanyak RM100.6 juta kepada RM1.17 bilion, terutama disebabkan prestasi jualan di PRC yang bertambah baik susulan langkah penyelarasan harga.

“Kumpulan kekal memberi tumpuan untuk mengewangkan inventori ini melalui strategi penempatan produk dan inisiatif pemasaran yang disasarkan,” katanya.

Dalam pada itu, segmen pelaburan hartanah meneruskan pertumbuhan, disokong peningkatan penghunian fizikal di IOI Central Boulevard Towers serta prestasi South Beach Tower dan pusat beli-belah utama kumpulan.

Di Malaysia, IOI City Mall dan IOI Mall Puchong terus mencatat jumlah kunjungan yang kukuh serta kadar penghunian tinggi, manakala IOI City Towers dan Puchong Financial Corporate Centre menunjukkan peningkatan penghunian secara berperingkat.

Prestasi itu memberi asas positif kepada cadangan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) kumpulan yang baru menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan dijangka disenaraikan menjelang suku keempat tahun kalendar 2026.

Di Singapura, prospek pasaran pejabat kekal positif berikutan permintaan yang berdaya tahan serta bekalan terhad.
Keadaan itu menyokong prestasi IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower yang masing-masing mencapai kadar komitmen hampir penuh.

Prestasi segmen pelaburan hartanah dijangka terus meningkat, didorong penghunian fizikal yang semakin baik di IOI Central Boulevard Towers serta tambahan sumbangan daripada Asia Square Tower 2, dengan pengambilalihan disasarkan selesai pada suku ketiga tahun kalendar 2026.

Sementara itu, sektor pelancongan Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat, disokong kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Pada separuh pertama 2026, Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai negara paling banyak dikunjungi di Asia Tenggara dengan 21.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa.

Perkembangan itu menyokong kadar penghunian dan kadar bilik purata hotel milik kumpulan.

Momentum sektor pelancongan dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini menerusi pelbagai acara utama dalam kalendar VM2026, termasuk perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix pada Oktober.

Peningkatan aktiviti pelancongan dijangka menyokong kadar penghunian dan kadar bilik hotel kumpulan, selain memberi limpahan manfaat kepada pusat beli-belah miliknya.

Portfolio hospitaliti kumpulan turut berkembang menerusi pengenalan The Westin Puchong, hotel bertaraf lima bintang dengan 324 bilik yang terletak dalam pembangunan induk IOI Rio City seluas 100 ekar di Bandar Puteri Puchong.

Hotel berkenaan dijadualkan dibuka menjelang Jun 2030 dan bakal menjadi hotel lima bintang berjenama antarabangsa pertama di Puchong, selain dijangka melengkapi IOI Mall Rio yang akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini