Audit kolam takungan industri tetap dilaksanakan – Exco

Audit kolam takungan industri tetap dilaksanakan – Exco

TEH KOK LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kerajaan Negeri Perak akan terus memastikan pengauditan kolam takungan industri berisiko dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan kolam takungan sememangnya sudah tersedia, namun pelaksanaannya berdepan kekangan dari segi jumlah kakitangan dan masa.

“SOP itu memang sudah ada. Namun, terdapat kekangan kakitangan dalam agensi kita menyebabkan kita tidak dapat menjalankan semua pengauditan secara serentak kerana jumlahnya terlalu banyak.

“Pengauditan akan tetap berlaku terhadap semua yang berkaitan, cuma kadangkala ada yang terlepas disebabkan kekangan kakitangan dan masa,” katanya ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita di Dataran Warisan Taiping, hari ini.

Mengulas pencemaran Sungai Sepetang yang dipercayai berpunca daripada kebocoran kolam takungan sisa sebuah kilang kelapa sawit, Teh Kok Lim berkata, pihaknya memohon maaf kerana tindakan berkaitan mengambil sedikit masa.

“Saya mohon maaf kerana tindakan itu agak lewat sedikit. Namun, kita akan cuba sedaya upaya memastikan setiap pematuhan berjalan lancar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sudah mengambil tindakan terhadap premis terbabit susulan kejadian berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan,JAS Perak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah kilang minyak sawit di Kamunting selepas runtuhan tebing kolam pelupusan enap cemar dipercayai menyebabkan kira-kira 19,000 meter padu sisa mengalir ke kawasan lombong sebelum memasuki Sungai Petai.

Kejadian itu turut menjejaskan komuniti nelayan di Kampung Dew dan mencetuskan kebimbangan terhadap aktiviti perikanan serta ekopelancongan di Sungai Sepetang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×