BUKIT JALIL: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh menyifatkan Aina Abdul sebagai antara ‘emas’ dalam industri muzik tempatan yang wajar dihargai dan dijaga kerana memiliki bakat serta jiwa seni yang luar biasa.
Noh berkata, pandangannya itu bukan semata-mata berdasarkan hubungan baik mereka, sebaliknya lahir daripada pengalamannya sendiri bekerjasama dengan penyanyi itu.
“Sepanjang saya berduet dengan ramai orang, Aina ini sedikit berbeza. Apabila dia sudah mula ‘masuk’ dan berada dalam zon dia, memang luar biasa. Dia benar-benar mendalami lagu itu. Pada tahap ini, saya sangat bersyukur dapat berkolaborasi dengan Aina.
“Bagi saya, dia benar-benar pelapis penyanyi baharu yang mempunyai jiwa. Orang nak kata dia berlebihan atau apa sahaja, biarlah. Tetapi daripada seorang penyanyi kepada seorang penyanyi, saya melihat Aina adalah ‘emas’ yang perlu dijaga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Noh turut mengimbas persembahan mereka di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) apabila Aina sanggup terbang dari Miri pada saat akhir bagi memenuhi pelawaannya untuk membuat persembahan bersama.
“Ketika itu lebih kurang seminggu sahaja lagi sebelum konsert. Saya tanya Aina sama ada dia mahu menyertai saya, tetapi dia beritahu ada persembahan di Miri. Saya kata tidak mengapa dan dia datang dari Miri, terus buat latihan sebelum membuat persembahan pada malam itu.
“Segala yang orang dengar ketika persembahan tersebut semuanya berlaku secara spontan. Itulah betapa magisnya apabila seseorang benar-benar menjiwai lagu,” jelasnya.
Dalam masa sama, vokalis kumpulan Hujan itu memuji komitmen Aina yang disifatkan mudah untuk bekerjasama, selain sanggup memberikan masa dan tenaga terhadap setiap projek yang dilakukan bersama.
“Dia sangat mudah untuk diajak bekerja. Kesanggupannya meluangkan masa untuk datang merakam lagu itu bagi saya adalah satu pengorbanan.
“Muzik video baharu kami juga memerlukan usaha. Bayaran saya pun bukanlah sampai tahap dia perlu datang untuk penggambaran, tetapi dia tetap usahakan agar apa yang dirancang itu menjadi. Alhamdulillah, muzik video Sang Penikam itu menjadi dan menepati cita rasa kedua-dua pihak,” katanya.
Cakna mengenai maklum balas negatif mengenai muzik video tersebut selepas dilancarkan, Noh enggan mengambil pusing dengan kata-kata netizen, sebaliknya menganggapnya sebagai seni mereka dalam berkarya.
“Kita bukan menghasilkan seni semata-mata untuk menyenangkan semua orang. Kalau asyik mahu memenuhi dan memuaskan hati semua orang, kita tidak akan bergerak.
“Itulah juga yang saya nampak ada dalam diri Aina. Kalau kita lihat daripada sudut hati seorang anak seni, Aina memang betul-betul mempunyai jiwa itu,” tegasnya.
Sementara itu, Noh turut memaklumkan gandingan mereka tidak terhenti di situ apabila Aina telah menghasilkan lagu baharu duet bersama yang disifatkannya sebagai kesinambungan kepada lagu Sang Penikam.
“Maaf Aina, saya terpaksa bocorkan sebab saya terlalu teruja. Minggu depan kami akan merakam lagu baharu.
“Cara saya melihat lagu itu, ia seperti kesinambungan kepada Sang Penikam. Kali ini lagu tersebut dihasilkan oleh Aina sendiri dan diterbitkan oleh Vega Antares,” ujarnya.- UTUSAN










