270 murid SK Mentera diberi latihan kebakaran

270 murid SK Mentera diberi latihan kebakaran

Murid-murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di depan lori bomba sebaik sahaja program selesai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 270 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera menyertai Program Fire Drill Keselamatan Tanggungjawab Kita Bersama yang diadakan di padang sekolah dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program itu dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Faizul Anwar M. Fauzi bersama lima orang anggota bomba yang memberikan taklimat mengenai langkah-langkah pencegahan kebakaran, prosedur menyelamatkan diri serta demonstrasi pemindahan ketika berlaku kecemasan.

Sepanjang program tersebut, murid-murid turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti laluan keluar kecemasan, cara bertindak dengan tenang ketika berlakunya kebakaran dan kepentingan mematuhi arahan pasukan penyelamat.

Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab. Sattar, berkata program tersebut bertujuan melatih murid dan seluruh warga sekolah supaya dapat bertindak dengan pantas, teratur dan selamat sekiranya berlaku kecemasan.

“Latihan seperti ini penting bagi memastikan semua warga sekolah mengetahui prosedur keselamatan serta laluan keselamatan yang betul sebagai persediaan mengurangkan risiko kemalangan dan menyelamatkan nyawa,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.

Program itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran kebakaran dalam kalangan murid di samping menyemai budaya pencegahan sejak di bangku sekolah.

Selaras dengan tema program, pihak sekolah berharap mesej Bersama Kita Cegah, Bersama Kita Selamat terus menjadi amalan semua warga sekolah kerana

keselamatan perlu sentiasa diutamakan dan kebakaran hendaklah dicegah sebelum berlaku.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN