Yang penting cerita kahwin dua itu tidak benar - Fitri Haris - Utusan Malaysia

Yang penting cerita kahwin dua itu tidak benar – Fitri Haris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pensyarah dan penyanyi nasyid, Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris menolak desas desus mengenai beliau berkahwin dua.

Fitri memaklumkan dia berteka teki mengenai punca cerita itu timbul sedangkan ianya tidak benar sama sekali.

“Perkara itu tidak benar. Saya hanya memiliki seorang sahaja isteri dan kami dikurniakan empat cahaya mata. Itu sahaja yang boleh saya ulas.

“Ini hal peribadi, yang penting cerita berkahwin dua itu tak benar. Selebihnya saya enggan mengulas kerana desas desus itu tidak berlaku dan bukanlah begitu penceritaannya.

“Banyak naratif cuba diwujudkan, saya, isteri, keluarga dan kenala rapat tertanya-tanya macam mana boleh timbul soal berkahwin dua ini?

“Sampikan masa buat persembahan di Bukit Bintang baru-baru ini, saya dikejar media untuk bertanyakan perihal ini dan kami pun sudah menjelaskan,” kongsinya.

Fitri berkata demikian sewaktu sidang media Showcase Jiwarasa Nizam Laksamana dan Kawan-Kawan 5.0 di Asam Pedas London, semalam.

Dalam pada itu Fitri berkata kisah berkahwin dua itu berulang kali dimainkan media, membuatkan dia dan isteri lali dengan dakwaan tersebut.

“Saya sudah hadap cerita begini beberapa kali. Mungkin ujian saya adalah itu. Sebelum timbul cerita saya ada anak dalam perkahwinan itu, saya dukung anak peminat pun dikatakan anak itu adalah kepunyaan saya.

“Saya tidak berkata yang saya ini baik. Tapi cerita ini dah beberapa kali ditimbulkan. Cuma sekarang ini kita faham keadaan itu,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Fitri terkilan dengan penularan video tular yang sebelum ini merakan dia berjalan berpimpin tangan dengan wanita itu.

“Sedangkan dalam video itu adalah anak saya yang sekarang ini berusia 21 tahun. Ada pihak rakam kami secara senyap. Tapi ketika itu saya biarkan sahaja, tidak melatah atau menjawab kepada media,” jelasnya.

Fitri memaklumkan isterinya, Fazilah Omar juga maklum mengenai perkara itu tetapi tidak terkejut kerana ianya dimainkan beberapa kali di media cetak dan elektronik.

“Isteri juga adalah pengurus saya, yang mengurus semua jadual saya. Dia tahu aktiviti harian saya, kemana saya pergi dan sebagainya. Dan dia maklum tentang cerita itu.

“Dia tidaklah terkejut. Kami selesaikan dua cara, dalam konteks suami isteri iaitu mencari kebenarannya dan dari segi karier saya, dia banyak membantu saya untuk menjawab kepada media,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fitri telah mengadukan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi menjaga nama baik dan kredibiliti sebagai penjawat awam.

“Saya telah membuat ‘cover report’ lebih-lebih melibatkan saya yang merupakan penjawat awam. Cerita begini tak bagus untuk kredibiliti kita.

“Prinsip saya, kalau saya pertahankan jika saya tidak melakukannya. Begitu juga benda yang baik, saya pertahankan.
Melainkan memang benar saya melakukannya, jadi saya sedia berlapang dada untuk memohon maaf.

“Sudah-sudahlah, kita pun tidak tahu siapa dalang disebalik dakwaan ini,” katanya mengakhiri perbualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN