Watak polis hanya dalam cerita, jangan kaitkan dengan peribadi - Elizabeth Tan - Utusan Malaysia

Watak polis hanya dalam cerita, jangan kaitkan dengan peribadi – Elizabeth Tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan berpendapat bahawa imej kepolisian yang dibawa oleh mana-mana pelakon dalam sesebuah naskhah tidak seharusnya dikaitkan dengan kehidupan peribadi mereka di luar set penggambaran.

Elizabeth atau Elizabeth Tan Su Mei, 30, yang sebelum ini mencuri tumpuan menerusi watak pegawai polis, ASP Jennifer Wong dalam filem pecah panggung, Sheriff: Narko Integriti, berkata tugas seorang pelakon bermula dan berakhir di set penggambaran sahaja.

“Saya baru tahu mengenai hal pelakon watak polis terlibat dadah. Pada saya, jika seseorang itu pernah berlakon dalam mana-mana cerita kepolisian, itu hanya karakternya sahaja dan tidak patut dikaitkan dengan peribadi.

“Saya rasa semua pelakon kalau sudah habis watak, maka habislah tugasnya sebagai pelakon,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Rabu.

Tambah pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-33 itu, tidak adil masyarakat mempunyai persepsi lebih buruk kepada pelakon yang melakonkan watak badan beruniform.

Tegasnya, undang-undang Malaysia adalah sama rata untuk setiap warganegara tanpa mengira latar belakang kerjaya.

“Cuma apabila berkaitan dengan isu seperti kes dadah, saya fikir tidak wajar jika kita anggap dia lebih bersalah kerana pernah membawa karakter polis.

“Tak kiralah pelakon atau orang biasa, setiap daripada kita perlu patuh kepada undang-undang. Kita semua perlu ikut apa yang benar dan tidak mengikut undang-undang, tidak kiralah apa pekerjaan dia,” katanya.

Terdahulu, seorang pelakon perempuan yang membintangi drama polis terkenal ditahan selepas disyaki positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara, semalam.

Pelakon berkenaan ditahan bersama 17 individu lain ketika serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN