Wanita Thailand balut kaki tagih simpati ketika mengemis dicekup

Wanita Thailand balut kaki tagih simpati ketika mengemis dicekup

ANGGOTA penguat kuasa JKM menahan seorang warganegara Thailand yang mengemis di depan sebuah bank di Jalan Padang Garong, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang wanita Thailand membalut kakinya demi menagih simpati orang ramai ketika meminta sedekah di kawasan kaki lima sebuah bank di Jalan Padang Garong, di sini semalam.

Wanita yang dikenali sebagai Umi, 68, dan berasal dari Tak Bai merupakan antara tujuh gelandangan termasuk seorang kanak-kanak yang dicekup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Operasi Murni Bersepadu di sekitar bandar Kota Bharu.

Umi yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri mengaku dia yang menghidap kencing manis dan penyakit saraf sejak beberapa tahun lalu membalut kaki kirinya dengan kain untuk meraih simpati orang ramai.

Katanya, dia sebelum ini pernah ditahan oleh pihak berkuasa kerana mengemis di daerah ini sebelum dihantar pulang ke Tak Bai dan kembali semula ke sini.

“Saya memang ada penyakit kencing manis, namun kaki tidak dipotong dan bahagian itu dibalut untuk meraih simpati orang ramai. Saya hidup sebatang kara di Thailand selepas anak tunggal maut dalam kemalangan jalan raya.

“Selepas kematian anak, suami pula meninggal dunia. Saya sudah tiada keluarga di Tak Bai sebelum mengambil keputusan untuk mencari rezeki dengan meminta sedekah di kaki lima, ”katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Murni Bersepadu di sini, semalam.

Umi memberitahu, dia juga sudah empat tahun meminta sedekah di kaki lima bank tersebut dan memperoleh wang sebanyak RM30 sehari.

Katanya, wang tersebut digunakan untuk membayar bil elektrik dan air bagi sebuah bilik di daerah ini yang menjadi tempat dia berteduh tanpa dikenakan sebarang bayaran. 

Sementara itu, Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, operasi tersebut melibatkan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Jabatan Imigresen dan polis memberi tumpuan kepada gelandangan termasuk peminta sedekah di kaki lima bank di sekitar bandar ini.

Katanya, tujuh gelandangan yang ditahan terdiri daripada tiga wanita Thailand bersama seorang kanak-kanak dan empat lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan sembilan tahun hingga 70 tahun.

“Semua gelandangan yang diberkas didapati meraih simpati orang ramai dengan meletakkan pelbagai makanan untuk dijual di kaki lima dan meminta sedekah.

“Mereka sebenarnya bukan berniaga,tetapi sanggup berada di kaki lima bank sehingga lewat malam untuk meminta sedekah,” ujarnya.

Menurutnya, tiga wanita Thailand diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala empat lagi gelandangan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN