TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu pemilik kebun durian yang terjejas akibat lambakan hasil raja buah itu pada musim ini dengan menganjurkan Sambutan Hari Keluarga sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2026.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, penyediaan dua tan durian itu merupakan tanda penghargaan kepada seluruh warga UPSI selain menyokong pemilik kebun durian sekitar Tanjung Malim yang terjejas akibat lambakan hasil pada musim ini.
“Dengan sedikit tanda penghargaan daripada UPSI sendiri, dua tan durian yang kita beli secara borong bukan sahaja untuk meraikan warga universiti malah sebagai sokongan kepada pemilik kebun durian yang terjejas akibat lambakan hasil.
“Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat membantu mereka di samping terus mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga UPSI,” katanya kepada pemberita di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Katanya, selain durian, buah-buahan lain yang dikongsi bersama ialah manggis, cempedak, pisang dan rambutan sekali gus menyemarakkan budaya saling berkongsi serta semangat kekeluargaan yang menjadi identiti warga UPSI.
Jelasnya, majlis tersebut tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti senam tari, pertandingan mengupas durian, makan buah-buahan terpantas, teka berat buah dan memasak cekodok pisang.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, sambutan berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kekeluargaan sebagai asas kepada kecemerlangan institusi berteraskan pendidikan itu. – UTUSAN










