Unjuran TIV 2026 dinaikkan kepada 790,000 unit - Utusan Malaysia

Unjuran TIV 2026 dinaikkan kepada 790,000 unit

PERMINTAAN kenderaan dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pelancaran model baharu, promosi menarik serta permintaan berterusan terhadap kereta nasional, EV dan model hibrid. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah volum industri (TIV) bagi tahun 2026 diunjurkan meningkat kepada 790,000 unit berbanding 750,000 unit sebelum ini susulan prestasi sektor automotif yang lebih kukuh daripada dijangkakan pada separuh pertama tahun ini.

Sejajar dengan peningkatan unjuran tersebut, TA Securities turut menaik taraf saranan bagi sektor automotif daripada underweight kepada neutral.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran baharu itu bersandarkan andaian bahawa penurunan TIV pada separuh kedua tahun ini adalah lebih terkawal iaitu sekitar 9.1 peratus secara tahunan.

“Semakan semula unjuran ini mencerminkan asas yang tinggi berikutan pembelian awalan kenderaan elektrik (EV) unit siap pasang (CBU) pada separuh kedua 2025.

“Permintaan kenderaan dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pelancaran model baharu, promosi menarik serta permintaan berterusan terhadap kereta nasional, EV dan model hibrid,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut TA Securities, walaupun jualan mencatatkan penurunan pada Mei lalu berikutan tempoh hari bekerja yang lebih singkat, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan TIV melonjak semula 9.6 peratus secara bulanan pada Jun, sekali gus memperkukuh momentum pemulihan sektor tersebut.

Katanya, secara tahunan, TIV pada Jun meningkat 23.1 peratus yang didorong oleh jualan kenderaan penumpang yang lebih tinggi, meskipun jualan kenderaan komersial mencatatkan penurunan sebanyak 23.9 peratus.

“Bagi tempoh separuh pertama 2026, keseluruhan TIV mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus secara tahunan kepada 385,400 unit apabila peningkatan dalam segmen kenderaan penumpang berjaya mengimbangi penurunan 11.2 peratus dalam segmen kenderaan komersial,” katanya.

Tambahnya,  peningkatan gred sektor automotif tersebut turut didorong tindakan menaik taraf saham Sime Darby Bhd daripada ‘jual’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran RM2.16.

“Penurunan harga saham Sime Darby baru-baru ini telah meningkatkan jangkaan jumlah pulangan syarikat kepada julat tujuh hingga 12 peratus. 

“Memandangkan wajaran Sime Darby yang signifikan dalam liputan kami, jumlah pulangan berwajaran pemodelan pasaran sektor ini turut bergerak ke julat neutral,” katanya.

Sementara itu, di sebalik semakan positif TIV tersebut, TA Securities kekal berwaspada terhadap tekanan margin dan mengekalkan saranan ‘jual’ bagi Bermaz Auto Bhd dengan harga sasaran RM0.89 serta MBM Resources Bhd pada harga sasaran RM4.46. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN