TNB, Air Selangor perkukuh daya tahan infrastruktur utiliti negara - Utusan Malaysia

TNB, Air Selangor perkukuh daya tahan infrastruktur utiliti negara

SHAMSUL Ahmad (depan, kiri) dan Adam Saffian Ghazali (depan, kanan) menyempurnakan pertukaran perjanjian ESA dan CESA disaksikan oleh Datuk Amar Fadillah Yusof (tengah), Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) dan Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memeterai kerjasama strategik menerusi Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA) dan Perjanjian Pembekalan Tenaga Pendinginan (CESA) bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan serta kemampanan infrastruktur tenaga dan air negara.

Kerjasama itu dijangka meningkatkan kecekapan infrastruktur awam kritikal, di samping menyokong aspirasi negara ke arah peralihan tenaga, kemampanan dan jaminan keselamatan bekalan air.

Menerusi ESA, TNB akan membekalkan elektrik voltan tinggi kepada Loji Rawatan Air Sungai Rasau di Kuala Langat, Selangor yang merupakan loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,400 juta liter sehari (MLD).

Apabila siap sepenuhnya pada 2031, loji berkenaan dijangka membekalkan air terawat yang bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perjanjian itu turut menjadikan Loji Rawatan Air Sungai Rasau sebagai loji rawatan air pertama di negara ini menerima bekalan elektrik secara terus pada voltan 132 kilovolt (kV), sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan operasinya.

Selain itu, anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), akan membekalkan perkhidmatan Gas District Cooling kepada fasiliti Air Selangor di Jalan Pantai Baharu menerusi CESA dengan tempoh konsesi selama 20 tahun.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kerjasama tersebut membuktikan integrasi lebih erat antara sektor tenaga dan air mampu memperkukuh daya tahan infrastruktur kritikal negara, selain menyokong agenda pembangunan jangka panjang Malaysia.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan.

“Dengan menggabungkan kepakaran kami bersama Air Selangor, kami mencipta nilai yang memberi manfaat kepada pelanggan, memperkukuh perkhidmatan utiliti penting serta menyumbang kepada masa depan Malaysia yang lebih lestari,” katanya.

Inisiatif tersebut menjadikan Air Selangor sebagai syarikat utiliti air pertama di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pendinginan lingkungan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan sistem, prestasi tenaga dan kecekapan operasi berbanding sistem pendinginan konvensional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Air Selangor memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat disalurkan secara berterusan kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia, Air Selangor komited memastikan operasi yang cekap, berdaya tahan dan mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan pengguna.

“Kerjasama ini memperkukuh usaha kami untuk memastikan kesinambungan bekalan air melalui penggunaan penyelesaian teknologi yang lebih cekap dan mampan,” katanya.

Majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Air Selangor.

Kerjasama strategik itu mengukuhkan peranan saling melengkapi antara TNB dan Air Selangor dalam memastikan kesinambungan dua utiliti awam paling kritikal negara, di samping menyokong usaha kerajaan memperkukuh keselamatan tenaga dan air serta mempercepat penggunaan teknologi mampan dalam pembangunan infrastruktur negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN