KUANTAN: Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah manakala dua lagi rakannya mengaku salah atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya atau melakukan aksi ‘Superman’ di Mahkamah Khas Trafik, Kompleks Mahkamah Kuantan, di sini hari ini.
Nur Liana Atirah Roslan, 21, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Wahidah Zainal Abidin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dalam cara melakukan aksi berbahaya iaitu melakukan aksi ‘Superman’ dari arah Terminal Sentral Kuantan menuju ke arah Bukit Rangin, Jalan Kuantan Bypass, di sini, kira-kira 12.30 pagi, 16 Julai lalu.
Nur Liana dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000 jika didapati bersalah.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh tidak kurang dua tahun untuk sabitan pertama, 10 tahun untuk sabitan kedua selain lesen percubaan akan dibatalkan oleh mahkamah.
Nur Liana yang hadir berbaju kurung mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan dan mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Noraini Mohd. Nor memohon mahkamah meletakkan jaminan RM5,000 manakala Nur Liana dalam rayuannya meminta jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai aiskrim dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini bagi tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sementara itu, dua lagi tertuduh masing-masing berusia 19 dan 18 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan serupa dan mahkamah menetapkan tarikh 26 Ogos depan untuk Laporan Sosial dan Laporan Akhlak masing-masing berikutan tertuduh dikategorikan sebagai pesalah muda dan bawah umur.
Bagi tertuduh berusia 19 tahun, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 manakala tertuduh berusia 18 tahun, jaminan sebanyak RM2,000 masing-masing dari seorang penjamin. – UTUSAN










