Tiga beradik masih bersekolah antara ditahan curi motosikal

Tiga beradik masih bersekolah antara ditahan curi motosikal

HANYAN Ramlan (kanan) melihat sebahagian motosikal curi yang berjaya ditemukan semula setelah menahan tujuh suspek termasuk tiga beradik yang masih bersekolah pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan pencuri motosikal yang aktif di daerah ini selepas menahan tujuh lelaki termasuk tiga beradik yang masih bersekolah dalam Op Lejang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kes membabitkan tiga beradik itu, kebanyakan mangsa membuat laporan polis selepas motosikal mereka yang diletak di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini, hilang.

“Hasil risikan, dua beradik lelaki berumur 14 dan 15 tahun yang masih bersekolah ditahan semasa mereka sedang menolak dua buah motosikal yang baru dicuri di kawasan parkir stesen itu.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan abang mereka berusia 16 tahun dan pemuda berusia awal 20-an yang merupakan pemilik sebuah bengkel motosikal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Kata Hanyan, mereka menyasarkan motosikal yang tidak berkunci bahagian ‘handle’ sebelum ditolak ke bengkel milik lelaki terbabit untuk dilerai komponen tertentu sebelum dijual semula sebagai alat ganti.

“Tiga motosikal curi dan pelbagai komponen motosikal yang telah dilerai dirampas. Semakan mendapati kesemua mereka tiada rekod lampau serta bebas daripada penggunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, ujar Hanyan, kumpulan kedua yang berjaya ditumpaskan adalah ‘Geng RXZ’ apabila tiga lelaki berumur 25 hingga 27 tahun ditahan di Padang Serai, Kulim pada minggu lalu.

“Dua motosikal Yamaha RXZ, dua enjin motosikal itu dan Honda EX5 serta pelbagai komponen lain termasuk peralatan dirampas membabitkan jumlah keseluruhan RM50,000. Mereka mahir mencuri motosikal jenama itu yang turut dileraikan untuk dijadikan sebagai alat ganti,” katanya.

Tambah beliau, suspek menyasarkan motosikal itu dengan memecah masuk rumah mangsa sebelum bertindak melarikannya bersama barangan berharga lain.

Dalam pada itu, melalui operasi sama, polis menemukan sepucuk pistol tiruan bersama magazine, sembilan butir ‘ball bearing’ dan sebilah kerambit daripada seorang lelaki yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

“Serbuan ke rumahnya di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri minggu lalu membawa kepada penemuan senjata itu dan dadah jenis syabu seberat 0.56 gram.

“Dia mempunyai dua rekod jenayah serta sembilan rekod dadah dan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 dan Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya (Akta 357),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN