Tiga bakal mahasiswa B40 dibantu

Tiga bakal mahasiswa B40 UiTM dibantu

MUHAMMAD Syazmirul Shahiran Muhd. Hisham (tiga dari kiri) menerima bantuan awal daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu menerusi Program Ziarah Kasih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memulakan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu pada sesi September 2026, dibantu menerusi Program Ziarah Kasih dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Program diketuai Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Madya Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman itu bertujuan menyalurkan bantuan kewangan dan sokongan moral kepada pelajar yang berdepan kekangan ekonomi.

Beliau berkata, pengurusan universiti mahu memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian ke IPT disebabkan masalah kewangan.

“Program ini adalah usaha UiTM untuk membantu meringankan beban keluarga serta memberi keyakinan kepada penuntut sebelum memulakan pengajian. Kami mahu memastikan tiada anak bangsa tercicir daripada menuntut ilmu hanya disebabkan kekangan kewangan,” katanya di sini.

Dalam program itu, setiap pelajar menerima bantuan wang tunai RM300 menerusi Tabung Zakat Pelajar dan mereka berpeluang memohon pelbagai bantuan lain di bawah Tabung Kebajikan Pelajar sebaik saja mendaftar kelak.

Sementara itu, seorang daripada penerima sumbangan, Siti Fadhilah Jamilah Anuar, 18, dari Bukit Mentok, Kemaman yang ditawarkan mengikuti Diploma Perakaunan di Kampus Dungun berkata, dia kini bekerja sambilan di sebuah kedai makan bagi mengumpul wang saku untuk menampung perbelanjaan pengajiannya.

“Bantuan seperti ini pasti memberi semangat kepada saya untuk meneruskan pengajian dan meng­genggam diploma kelak,” katanya.

Muhammad Syazmirul Shahiran Muhd. Hisham, 18, dari Kijal, Kemaman turut bersyukur kerana bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantunya membuat persiapan sebelum memasuki kampus September ini.

Selain itu, Nur ‘Ainul Farhana Mohd. Nizam, 18, dari Kuala Nerus yang bakal mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer di UiTM Kampus Kuala Terengganu turut menerima bantuan selepas keluarganya berdepan kekangan kewangan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN