BATU PAHAT: Dakwaan sesetengah parti tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak lebih sekadar retorik dan cakap-cakap politik yang belum tentu mampu dipertahankan apabila berdepan realiti pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendirian sebegitu belum tentu kekal apabila keputusan pilihan raya diumumkan kerana ketika itulah kematangan politik setiap parti akan benar-benar diuji.
Katanya, sejarah politik negara sudah membuktikan tiada parti yang boleh mendakwa mustahil untuk bekerjasama kerana pelbagai gabungan pernah diwujudkan demi menjamin kestabilan pentadbiran.
“PH masuk bertanding dengan cita-cita memperoleh majoriti yang mencukupi untuk mentadbir Johor.
“Bagaimanapun, jika keputusan pilihan raya menghasilkan landskap yang berbeza, segala kemungkinan perlu dibincangkan selepas rakyat membuat keputusan kerana ketika itulah kematangan politik akan diuji.
“Jadi, yang cakap-cakap kononnya tidak mahu bekerjasama itu hanyalah cakap-cakap politik. Apabila tiba masanya, pendirian itu akan diuji oleh realiti dan keperluan membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan mesra bersama peniaga di Jalan Penggaram, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, gabungan itu tetap tidak akan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
Katanya, gabungan itu terbuka bergabung dengan parti mempunyai ideologi sehaluan, tanpa menjelaskan sama ada kerjasama berkenaan bersama Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu Amirudin berkata, pengalaman politik negara selepas 2022 membuktikan kematangan pemimpin menerima formula Kerajaan Perpaduan yang terbukti telah menghasilkan kestabilan politik yang akhirnya diterjemahkan kepada keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Soal paling penting bukanlah siapa yang menolak atau yang menerima sesuatu kerjasama, sebaliknya siapa yang benar-benar bersedia mengetepikan ego politik demi memastikan kerajaan yang dibentuk mampu mentadbir dengan stabil,” katanya.
Mengulas dakwaan berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mempersoalkan reaksi pimpinan PH berhubung kepimpinan UMNO dan BN yang mengalu-alukan sokongan Pas, Amirudin berkata, sebarang perbezaan pandangan antara parti dalam gabungan kerajaan tidak wajar diperbesarkan.
Katanya, perkara tersebut sewajarnya tidak perlu diperbesarkan sehingga menjejaskan kestabilan yang telah dibina sejak pasca Pilihan Raya Umum ke-15, sebaliknya perlu dibincangkan secara tertutup melalui saluran rasmi parti.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan yang ada tidak diganggu oleh percaturan politik jangka pendek, apatah lagi ketika negara sedang menikmati keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan.
“Bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan mana-mana parti mengambil pendekatan bergerak secara solo dalam pilihan raya akan datang, namun harus diingatkan bahawa landskap politik negara hari ini memerlukan pertimbangan lebih realistik dan tidak bersifat idealistik semata-mata.
“Kalau mahu bergerak solo, itu hak masing-masing. Tetapi realiti politik hari ini menunjukkan bahawa kestabilan dan kerjasama lebih memberi manfaat kepada rakyat berbanding pendekatan berpecah-pecah,” katanya. – UTUSAN










