PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan menuntut pengiktirafan sebagai pihak yang bertanggungjawab merealisasikan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Baginda bertitah, projek berkenaan berjaya disiapkan hasil kesinambungan dasar, komitmen dan kerjasama beberapa pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.
“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.
“Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titah baginda hari ini.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur apabila projek LRT3 Shah Alam akhirnya berjaya direalisasikan selepas melalui pelbagai cabaran sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina kemudahan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk.
“Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Datuk Seri Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengimbau projek LRT3 berdepan kelewatan lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum tertangguh lagi selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19 sehingga 2021.
Titah baginda, ketika tempoh itu skop projek turut dikurangkan termasuk pengecilan saiz stesen, pengurangan jumlah gerabak serta pembatalan lima lokasi cadangan stesen.
“Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Phua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya merupakan projek ‘Mega’ sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” tegas baginda.
Bagaimanapun, baginda menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju meneruskan projek berkenaan dengan mengembalikan lima stesen yang dibatalkan selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar laluan LRT3.
Baginda berharap pembukaan LRT3 itu berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya yang tinggal di Klang,Shah Alam dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Beta berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.
“Malah, beta juga berharap kemudahan infrastruktur LRT3 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara,” titah baginda. – UTUSAN










