Tiada jentera Pas, tiada masalah - Calon Bersatu DUN Stulang

Tiada jentera Pas, tiada masalah – Calon Bersatu DUN Stulang

LIM Chin Eng (kanan) yang mewakili PN di kerusi DUN Stulang menyantuni orang ramai ketika berkempen di kawasan tersebut sempena PRN Johor ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini menegaskan jenteranya tetap berkempen dengan baik walaupun tiada bantuan jentera Pas.

Lim Chin Eng, 73, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang berkata, pihaknya telah menggerakkan seramai 30 jentera untuk menyantuni seramai mungkin pengundi berbilang kaum di kawasan tersebut dalam tempoh dua minggu ini.

“Setakat ini kekuatan jentera kita di DUN Stulang adalah seramai 30 orang yang aktif menggerakkan kempen setiap hari. Jentera daripada Pas memang tidak nampak walau seorang pun yang hadir untuk membantu.

“Tetapi itu tidak menghalang kami untuk terus mendekati seramai mungkin pengundi di sini untuk memaklumkan tawaran kami kepada mereka, iaitu wakil rakyat yang akan mengangkat suara akar umbi ke peringkat negeri, dan lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Tambah Chin Eng yang juga Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Johor Bahru itu, pengalaman bergelar Ahli Majlis akan digunakan sebaiknya dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira muda atau tua, wanita atau lelaki dan pelbagai latar belakang kaum.

“Jentera kami sudah bersedia untuk lakukan yang terbaik, saya sendiri juga sudah persiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental untuk berdepan apa sahaja cabaran yang datang.

“Semasa buat keputusan untuk bertanding juga sudah maklum bukan semua yang dirancang akan berjalan mengikut kehendak kita, namun yang penting adalah bagaimana kita bereaksi balas dan terus lakukan yang terbaik,” katanya.

Chin Eng berdepan saingan empat penjuru di DUN berkenaan, terdiri daripada penyandang kerusi tersebut iaitu Andrew Chen Kah Eng yang mewakili Pakatan Harapan (PH) serta Bong Seng Heng mewakili Barisan Nasional (BN) serta Stanley Tan Boon Heng mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN