SEREMBAN: Tiada mana-mana bahagian dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan disembunyikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan malah akan menerbit dan mendedahkan keseluruhan laporan itu mengikut syor serta proses yang berlaku sepanjang siasatan.
Kata beliau, penelitian laporan itu juga akan melangkaui tempoh asal laporan iaitu bagi melihat perkembangan selepas tahun 2020.
“Kita mahu mengetahui dengan tepat apa yang berlaku selepas tempoh tersebut, termasuk tindakan yang telah diambil oleh pelbagai jawatankuasa serta Lembaga Tabung Haji ketika ini.
“Kita akan terbitkan keseluruhannya. Laporan, rekomendasi dan proses-proses yang diambil. Kita telah ambil keputusan sebarkan keseluruhannya.
“Tidak ada Perdana Menteri atau JPM (Jabatan Perdana Menteri) akan memotong mana-mana aspek laporan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya di sini hari ini.
Anwar berkata, laporan RCI itu telah merangkumi perkembangan sejak 2014.
“Laporan itu sebenarnya menjurus 2014 dan Bank Negara beri amaran awal, 2017, amaran berikutnya.
“Kita juga minta supaya penelitian turut merangkumi perkembangan selepas itu. Saya rasa lebih baik rakyat Malaysia dan orang Islam diberi peluang untuk mengetahuinya,” katanya.
Anwar dalam pada itu sekali lagi menegaskan, mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian TH perlu disiasat dan didakwa.
Tindakan itu supaya apa yang didedahkan dalam laporan RCI itu dijadikan pengajaran dan tidak berulang.
“Pihak yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa jika perlu, seterusnya kepada proses pendakwaan dan hukuman,” katanya.
Katanya, pendedahan RCI TH itu juga tidak akan menjejaskan hubungan beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri malah memberitahu, Ahmad Zahid bersama menteri-menteri dari Barisan Nasional (BN) juga bersetuju supaya keseluruhan laporan tersebut didedahkan.
“Dalam laporan TH ini memang ada tekad bersama dan persetujuan untuk menjelaskan laporan ini,” katanya.-UTUSAN










