PATTANI (THAILAND): Pasukan Petugas Khas Wilayah Pattani berjaya memintas sekali gus menggagalkan cubaan menyeludup 200 kilogram dadah jenis syabu selepas menahan sebuah trak pikap di pusat pemeriksaan Mo Kaeng, Nong Chik, dekat sini, kelmarin.
Pikap tersebut ditahan pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan selepas dipandu dalam keadaan mencurigakan sebaik sahaja pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan penyeludupan bahan terlarang itu.
Jurucakap Biro Pencegahan Narkotik Polis Wilayah Pattani berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas pikap berkenaan menemukan 11 kotak yang mengandungi 200 blok setiap satu seberat satu kilogram.
“Kita turut menahan pemandu pikap berusia 28 tahun bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut, suspek mendedahkan syabu berkenaan hendak dihantar kepada satu kumpulan lain di Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jurucakap itu berkata, dadah tersebut kemudian akan diseludup ke negara jiran melalui kawasan hutan.
Katanya, anggaran nilai rampasan berjumlah RM10.27 juta. – UTUSAN










