PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan tidak mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) tiga tahun lalu dibuat bagi mengelakkan krisis keyakinan yang boleh menyebabkan institusi tersebut ‘gulung tikar’.
Beliau berkata, jika laporan berhubung penyelewengan pengurusan terdahulu yang didakwa mengakibatkan kerugian melebihi RM10 bilion itu diterbitkan ketika itu, pendeposit berkemungkinan besar akan mengeluarkan simpanan mereka sehingga menjejaskan kedudukan kewangan TH.
Menurutnya, selepas tiga tahun di bawah pengurusan baharu yang diterajui Tan Sri Abdul Rashid Hussain, TH kini kembali stabil dan kukuh sekali gus membolehkan laporan tersebut didedahkan.
“Bila ada yang tanya kenapa tiga tahun lalu tidak diumumkan, saya jelaskan kalau ketika itu laporan dikeluarkan, rakyat akan hilang keyakinan dan mengeluarkan wang mereka. Akhirnya Tabung Haji boleh gulung tikar.
“Selepas tiga tahun dengan pengurusan baharu yang cemerlang, Tabung Haji kini kembali bertapak kukuh,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Semalam Anwar berkata, laporan RCI TH akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya Rabu ini, selepas dirujuk kepada Jemaah Menteri.
Beliau dalam pada itu berkata, isu yang dibangkitkan menerusi laporan RCI itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya membabitkan soal kedaulatan, integriti dan tata kelola negara.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan, terutama membabitkan institusi yang menguruskan simpanan umat Islam.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih menanggung beban hutang akibat salah urus pentadbiran terdahulu.
Katanya, kerajaan kini terpaksa memperuntukkan kira-kira RM980 juta setiap tahun bagi membayar hutang lama Felda supaya kebajikan peneroka tidak terjejas.
“Saya tidak tergamak mengambil wang Felda atau peneroka kerana itu bukan kesilapan mereka, tetapi kesilapan pengurusan atasan. Sebab itu kerajaan menggunakan dana negara untuk melunaskan hutang tersebut,” katanya. – UTUSAN










