SEREMBAN: Seluruh anggota keselamatan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diseru agar memilih kerajaan negeri yang mampu menjamin kestabilan, memacu kemajuan dan membawa kemakmuran kepada rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap undi merupakan satu tanggungjawab dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan menerusi pemilihan sebuah kerajaan negeri yang berkeupayaan memimpin negeri itu.
“Barisan Nasional (BN) mempunyai pengalaman, keupayaan serta rekod yang diperlukan untuk menerajui Negeri Sembilan ke arah sebuah negeri yang stabil, maju dan makmur.
“Pengalaman BN mengurus kemajmukan serta kepelbagaian masyarakat menjadi kekuatan gabungan itu dalam memastikan kestabilan terus terpelihara, sekali gus memacu kemajuan dan kemakmuran negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Khidmat bakti mereka kepada negara wajar sentiasa dihormati, dihargai dan dimuliakan kerana keamanan yang dipertahankan menjadi asas kepada kestabilan, kemajuan dan kemakmuran negara.
“Selamat mengundi. Undilah Barisan Nasional. Demi Negeri Sembilan yang stabil, maju dan makmur,” katanya.
Esok, seramai 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 38 pusat pengundian awal di seluruh negeri. – UTUSAN










