Tenaga boleh baharu: Pulau Pinang yakin capai sasaran 10 peratus menjelang 2030

Tenaga boleh baharu: Pulau Pinang yakin capai sasaran 10 peratus menjelang 2030

CHOW Kon Yeow (depan, kanan) mendengar penerangan daripada Ooi Heng Ee (kiri) mengenai projek pemasangan panel solar di kawasan parkir di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tenaga boleh baharu (TBB) sehingga 10 peratus iaitu menerusi campuran tenaga negeri menjelang 2030.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keyakinan itu selaras dengan pelaksanaan Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang (PEF) yang turut menyasarkan peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 25 peratus, juga menjelang 2030.

“Ketika ini, TBB di Pulau Pinang adalah sebanyak enam peratus sahaja dan kami yakin sasaran 10 peratus itu boleh dicapai. Jika ia berjaya direalisasikan, kami akan menetapkan matlamat yang lebih tinggi bagi mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih pula,” katanya selepas melancarkan Fasa 2 Projek Pemasangan Solar di Renesas Semiconductor (Malaysia) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Menurut beliau, penglibatan sektor industri dalam melaksanakan projek TBB itu amat penting bagi menyokong agenda kelestarian negeri, selain membuktikan bahawa pelaburan dalam tenaga hijau mampu meningkatkan daya saing syarikat.

Katanya, projek terbaharu Renesas yang melibatkan pemasangan panel solar di kawasan parkir dijangka menjana bekalan elektrik bagi kegunaan operasi harian syarikat serta mengurangkan kira-kira 720 tan pelepasan karbon dioksida (CO2) setahun.

“Projek ini bukan sahaja menyokong komitmen syarikat terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), malah, membantu Pulau Pinang mencapai sasaran iklim yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tambah Kon Yeow, pemasangan sistem solar itu turut meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang serta mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama pembuatan mampan dan industri bernilai tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Kamal Ariffin berkata, projek pemasangan panel solar di kawasan parkir bernilai kira-kira RM2 juta itu dilaksanakan menerusi model perbelanjaan tanpa modal (zero CAPEX), sekali gus membolehkan Renesas memasang sistem solar tanpa memerlukan modal permulaan.

Menurutnya, projek berkenaan dibiayai melalui kerjasama antara TNB dan GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX), dengan pelaburan dijangka diperoleh semula menerusi penjimatan kos tenaga dalam tempoh kurang 10 tahun.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada program pemasangan solar Renesas berkapasiti keseluruhan 10 megawatt (MW) yang menyokong sasaran negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih serta meningkatkan sumbangan tenaga boleh baharu kepada antara 30 hingga 35 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang 2035,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Global Tapak Pembuatan Dalaman Renesas, Ooi Heng Ee berkata, syarikat itu turut melaksanakan projek solar di dua fasiliti berasingan iaitu di Kedah dan Kuala Langat, Selangor dengan kerjasama TNB sebagai sebahagian daripada strategi kelestarian syarikat di Malaysia.

“Projek Panel Solar Parkir ini merupakan fasa seterusnya dalam usaha kelestarian syarikat. Jadi, apabila siap sepenuhnya, ia dijangka mengurangkan lagi 720 tan pelepasan CO2 setahun iaitu bersamaan dengan usaha memelihara lebih 32,000 pokok pada setiap tahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN