PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak pernah mengabaikan mana-mana anggota yang memerlukan bantuan dan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan.
TDM berkata, pihaknya mengambil maklum dakwaan kebajikan Truper Abdul Hamid Talib yang diabaikan selepas insiden yang menimpanya.
Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak insiden yang berlaku pada 12 Mac lalu itu bagi memastikan anggota terbabit menerima rawatan perubatan terbaik serta bantuan kebajikan yang sewajarnya.
“Sepanjang tempoh rawatan, anggota telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan seterusnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan serta rehabilitasi lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, peguam Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya yang mewakili keluarga Abdul Hamid mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seolah-olah bersikap lepas tangan apabila tiada sebarang jaminan bantuan kebajikan atau penyediaan peralatan sokongan hayat diberikan kepada mangsa.
Abdul Hamid, 25, yang merupakan anggota Rejimen 22 Komando di Kem Sri Iskandar, Mersing dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas dipercayai dikenakan hukuman dalam kem tentera pada 12 Mac lalu.
Kes tersebut dipercayai melibatkan dua anggota tentera sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Abdul Hamid yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah, dilaporkan tidak mampu bergerak, bergantung kepada tiub makanan serta mengalami kerosakan tempurung kepala yang terpaksa digantikan dengan plat titanium
Menurut TDM, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan turut disalurkan kepada anggota berkenaan serta keluarganya, selain memastikan kebajikan mereka sentiasa dipelihara.
“Lawatan kebajikan turut dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan, bagi memantau perkembangan kesihatan anggota dan memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara.
“Ini termasuklah persediaan anggota untuk menjalani penjagaan di rumah selepas discaj nanti,” katanya.
Dalam pada itu, TDM memaklumkan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan telah selesai dilaksanakan dan tindakan sewajarnya sudah diambil terhadap pelaku mengikut peruntukan yang berkuat kuasa, manakala proses pemberhentian perkhidmatan sedang dijalankan.
“Pada masa yang sama, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai dan sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada proses perundangan.
“TDM menghormati hak semua pihak untuk mendapatkan maklumat namun menyeru agar sebarang kenyataan dibuat berdasarkan fakta yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga sensitiviti anggota dan keluarganya.
Tambahnya, TDM kekal komited untuk terus memberi perhatian terhadap kebajikan anggota terbabit serta akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan peruntukan yang ditetapkan.-UTUSAN










