LANGKAWI: Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan merosakkan objek suci agama Hindu, pada Mac lalu.
Tamim Dahri, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa merosakkan objek suci agama Hindu iaitu tombak bercabang tiga atau ‘soolam’ dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek itu adalah menghina agama Hindu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah, di sini antara pukul 3.30 petang hingga 6.30 petang, pada 8 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Sofea Noridan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia berisiko melarikan diri.
Menurutnya, berdasarkan rekod perjalanan keluar masuk negara, tertuduh cenderung mengelakkan diri daripada berhadapan dengan proses undang-undang.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan memohon anak guamnya diberikan jaminan memandangkan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang boleh dijamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu, selain mahkamah menetapkan 23 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Tamim Dahri menyerah diri dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Negeri Sembilan, pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau kemudian direman selama dua hari bermula Ahad hingga semalam sebelum ditahan semula oleh polis bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan Tamim Dahri didakwa melarikan diri ke luar negara bagi mengelak siasatan berhubung kes ugutan menerusi Facebook. – UTUSAN








