KUALA LUMPUR: Aktivis, Tamim Dahri kini berada di luar negara dan polis kini giat mengesannya sebelum lelaki itu dihadapkan ke mahkamah berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, individu berkenaan dikesan keluar negara ke Thailand malah dipercayai berada di Arab Saudi ketika ini.
“Hasil semakan mendapati dia dikesan telah keluar ke Thailand dan kini dipercayai berada di Tanah Suci.
“Jadi, tindakan kita tuduh di mahkamah telah dibuat. Bila sampai masanya, kita akan ambil tindakan untuk hadap beliau (tuduh),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tamim akan dituduh di Mahkamah Langkawi mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah. – UTUSAN










