TAPAH: Taman Tasik Temoh di sini mengalami transformasi sebagai pusat rekreasi yang menawarkan kepelbagaian aktiviti riadah untuk individu dan keluarga seperti berjoging, berkelah serta bersenam.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah (MDT), Azmi Abd. Aziz berkata, taman rekreasi itu kini mempunyai tarikan baharu iaitu aktiviti sukan air sebagai salah satu ikon pelancongan baharu di negeri ini.
“Berkeluasan lebih 12.14 hektar, keseriusan kerajaan negeri menaik taraf fasiliti dan kemudahan awam di taman tasik semula jadi yang indah dan tidak tercemar ini bukan sahaja menggamit kehadiran pelancong tempatan, malah antarabangsa.
“Dengan kerjasama syarikat swasta melalui perjanjian bersifat ‘menang-menang’, taman ini menawarkan aktiviti kayak, ski jet, beca tasik dan basikal air untuk menarik lebih ramai pengunjung. Sambutan setakat ini dilihat sangat memberangsangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azmi berkata, MDT merancang memperkenalkan aktiviti kenderaan pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), tapak perkhemahan ala glamping, paintball, memanah dan restoran terapung sebagai tarikan lain pada masa depan.
Jelasnya, pihaknya memperkukuh hubungan strategik dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batang Padang bagi memastikan aspek pencahayaan, jalan, tempat meletak kenderaan, jambatan baharu, utiliti dan promosi sentiasa dalam keadaan terbaik.
“Lokasinya yang strategik iaitu di jalan utama berdekatan susur keluar lebuh raya di Gopeng dan Tapah membuatkan ia bakal menjadi tumpuan utama dengan sasaran lebih 10,000 pengunjung sebulan.
“Malah, kita telah berbincang dengan Tourism Perak untuk mempromosikan tempat ini dengan penganjuran ekspo dan aktiviti bersifat berkala bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Ujarnya, sebuah jambatan terapung bakal dibina untuk membolehkan pengunjung berswafoto, selain aktiviti berkelah secara santai pada waktu malam.
“Tarikan ini membolehkan peniaga-peniaga di sekitar tasik menambah pendapatan dan menawarkan pekerjaan berbentuk perkhidmatan pelancongan kepada penduduk setempat, sekali gus menyokong ekonomi lokal.
“Selain itu, pendapatan pemilik inap desa, restoran dan perkhidmatan dobi akan meningkat untuk menyokong pelancongan bersifat domestik,” katanya.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Batang Padang iaitu tumpuan utama adalah pelancongan.
Dalam pada itu, ia juga menepati flagship kesepuluh Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman hasil cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif. – UTUSAN










