Syor RCI TH dilaksana, catat prestasi kewangan kukuh, diiktiraf pengurusan haji terbaik dunia

Syor RCI TH dilaksana, catat prestasi kewangan kukuh, diiktiraf pengurusan haji terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai manifestasi komitmen berterusan kerajaan terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulfikli Hassan berkata, dapatan dan laporan RCI ini dilihat secara positif sebagai peluang berharga untuk memperkukuh kedudukan institusi seperti TH.

Katanya, TH telah dan sedang melaksanakan syor-syor penambahbaikan RCI secara teratur demi memelihara kepentingan pendeposit, pematuhan syariah, serta kelestarian operasi.

“Seiring dengan pembaharuan ini, TH terus mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh serta membuktikan pengurusan haji terbaik dunia menerusi kejayaan merangkul Anugerah Labbaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi secara konsisten.

“Pelaksanaan syor RCI dan pencapaian cemerlang ini menjadi pemangkin untuk TH terus mencipta kecemerlangan, memacu inovasi perkhidmatan, dan memberikan nilai pulangan yang optimum kepada para pendeposit,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, seluruh agensi agama menegaskan sokongan padu bagi memastikan TH kekal mampan, sentiasa diyakini oleh umat Islam, serta berterusan menjadi peneraju pengurusan haji negara.

Katanya, selama lebih enam dekad, TH telah memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan serta urusan haji jutaan jemaah Malaysia.

Ia sekali gus membuktikan kedudukannya sebagai institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara dan model pengurusan dana Islam diiktiraf pada peringkat antarabangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN