MELAKA: Pengalaman Malaysia mendapatkan semula aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal dijadikan rujukan negara-negara ASEAN apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan kursus khas pemulihan aset di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, inisiatif itu merupakan antara perkara yang dipersetujui daripada Seminar Integriti dalam Projek Infrastruktur Utama yang diadakan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22
di Banda Hilir di sini, hari ini.
Menurut beliau, kursus tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan modul pemulihan aset berdasarkan pengalaman Malaysia mengendalikan kes berprofil tinggi, termasuk usaha mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Katanya, pengalaman yang dimiliki SPRM sepanjang mengendalikan proses pengesanan, pembekuan dan pemulangan aset boleh dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN dalam memperkukuhkan tindakan terhadap jenayah rasuah yang melibatkan aliran dana serta aset merentasi sempadan.
“Malaysia mempunyai pengalaman dalam pengurusan dan pemulihan aset hasil daripada kes-kes rasuah termasuk kes 1MDB yang masih dalam proses. Pengalaman ini akan dikongsi dengan negara-negara ASEAN supaya mereka dapat mempelajari kaedah terbaik dalam mengendalikan kes-kes seumpama itu.
“Kita bercadang menjadi penaja kepada penganjuran kursus di MACA dan membangunkan modul khusus berkaitan pemulihan aset untuk dikongsi bersama 11 negara anggota ASEAN agar mereka mempunyai kefahaman serta kepakaran yang lebih menyeluruh dalam mengendalikan kes-kes melibatkan aset yang berada di luar negara.
“Seluruh delegasi telah menyatakan persetujuan apabila perkara tersebut dibangkitkan dalam seminar yang menghimpunkan pakar-pakar antirasuah dari pelbagai negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Integriti dalam Projek Infrastruktur Utama sempena Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Abd. Halim berkata, kursus berkaitan pemulihan aset itu dijangka dapat dilaksanakan seawal tahun ini di MACA, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Jelasnya, kursus tersebut bakal menjadi platform kepada pegawai-pegawai penguat kuasa dari negara anggota ASEAN untuk mempelajari kaedah pengesanan, penyitaan, pembekuan dan pemulangan aset secara lebih sistematik selaras dengan amalan serta piawaian antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia komited untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju dalam pembangunan kapasiti antirasuah di rantau ini melalui MACA yang kini semakin diiktiraf sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu beliau berkata, penganjuran seminar hari ini adalah platform memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi antirasuah di rantau ini dalam menangani cabaran jenayah rasuah yang semakin kompleks.
Katanya, seminar itu menghimpunkan pakar-pakar antirasuah dari beberapa bidang kuasa termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara anggota ASEAN bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta pendekatan terkini dalam memperkasakan integriti, khususnya dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur berskala besar.
“Tujuan seminar ini adalah untuk memperkukuh kolaborasi dan kerjasama antara negara-negara ASEAN-PAC dengan Hong Kong. Kita mahu hubungan ini menjadi lebih rapat supaya urusan perkongsian maklumat, bantuan siasatan dan pembangunan kapasiti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Sepanjang seminar ini pelbagai pandangan, cadangan serta keputusan telah dicapai. Saya percaya hasil perbincangan ini akan menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat dan membantu menentukan hala tuju agenda antirasuah di semua bidang kuasa yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antarabangsa kini menjadi elemen penting dalam usaha membanteras rasuah memandangkan kebanyakan kes berprofil tinggi melibatkan transaksi kewangan serta pemindahan aset merentasi pelbagai negara yang memerlukan tindakan bersama antara agensi penguat kuasa.-UTUSAN










